Friday 4 November 2011

Masa yang sangat berharga

Ahli dunia mengira bahawa syurganya terletak pada nilai material, wanita dan gedung-gedung mewah. Namun bagi seorang mukmin, syurganya terletak pada mihrabnya. Sekalipun Allah menganugerahkan kepadanya banyak hal yang diperbolehkannya untuk dimilikinya. Muknin sejati mempunyai kesenanganya yang tersendiri, iaitu dengan menghadapkan dirinya kepada Tuhannya dengan jiwa yang bersih. Sehinggakan segala kesenangan duniawi yang diperbolehkan untuknya memiliki itu akan lenyap dari jiwanya lantaran kelazatan menghadap Tuhannya mengatasi segala-galanya. Seringkali mukmin ini akan menjauhi banyak hal yang diperbolehkan itu agar kebersihan jiwanya terhindar daripada pencemaran yang akan mengeruhkan suasana kejernihan rohaninya.

Sikap tersebut telah pun di amalkan oleh orang-orang mukmin yang terdahulu, bahkan sehingga pada abad ini. Mereka lebih menyukai kehidupan yang sederhana sahaja, walaupun hakikatnya mereka berkemampuan untuk hidup mewah.

Sesungguhnya peranan solat merupakan faktor yang amat penting bagi mengubah segala kerumitan hidup manusia yang komplek dan berpanjangan. Sehingga membuatnya bosan dan sering mengeluh. Hal ini akan dapat diselesaikan hanya melalui solat yang memerlukan beberapa minit sahaja, tetapi mampu merubah kehidupannya menjadi penuh ketenangan.

Kehidupan orang yang jahil adalah kebekuan yang berterusan. Sedangkan kehidupan orang yang mengerjakan shalat dipenuhi dengan gerakan untuk menambah nilai kebenaran atau meluruskan penyimpangan. Sesungguhnya solat itu dimulai dengan Allahu Akbar (Allah Maha Besar) yang dapat mengakhirkan kebekuan ini dengan menggugah pelakunya untuk melakukan gerakan.

Gerakan paling menonjol sebagi hasil daripada takbir adalah gerakan pemisahan antara kekasih-kekasih Tuhan yang Maha Pemurah dengan kekasih-kekasih syaitan. Kerana apabila kita membaca:

             " Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau anugerahkan nikmat kepada    mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan pula (jalan) mereka yang sesat." (Al-Fatihah : 6-7)

Sepatutnyalah kita merasakan dalam setiap rakaat solat, keadaan tiga golongan manusia. Mengingati Nabi saw dan para sahabatnya radhiallahu'anhum, sebagai gambaran orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah swt. Manakala Abu Jahal dan Musailamah al-Kadzdzzab sebagai gambaran orang-orang yang dimurkai Allah swt dan orang-orang yang sesat. Demikianlah seterusnya pada rakaat yang lain dengan gambaran yang lain seperti contoh-contoh manusia yang ada dalam Al-Quran.

Oleh yang demikian barulah kita dapat menghayati solat dengan sebenar-benarnya. Dengan mengerjakan solat bererti kita telah bergabung dengan kaum mukminin dan memisahkan dengan kaum yang membuat kerosakan. Itulah gerakan iman, sesungguhnya iman yang benar adalah yang menggerakkanmu untuk memisahkan dari golongan yang lain (yang murkai Allah swt).

Rujukan: Buku Pelembut Hati (Muhammad Ahmad ar-Rasyid)



No comments:

Post a Comment