Selamat Hari Guru ..... cikgu!
Terima kasih ...... cikgu! Atas segala ilmu yang telah dicurahkan. Moga Allah swt menerima segala amalmu sebagai amal soleh.....
Ucapan keramat ini ku tujukan kepada semua guru-guruku. Tanpa mu siapalah aku..... Berkat kesabaranmu, keikhlasan dan pengorbanan mu.... telah dizinkan oleh Allah swt, akhirnya aku menjadi guru juga akhirnya. Sempena hari guru yang bakal menjelang, ku titipkan sekelumit pengalaman ini untuk tatapan bakal-bakal guru. Moga ianya dapat memberikan manfaat...
AKHIRNYA
AKU MENJADI….. GURU
“Belajarlah
rajin-rajin…. nak, nanti besar boleh jadi cikgu”. Kata-kata keramat inilah yang
dipesan oleh ibuku sewaktu aku kecil dan masih terus terngiang-ngiang ditelinga
ini. Walaupun ibu yang sangat kukasihi telah hampir 13 tahun meninggalkan dunia
ini, sebelum aku bergelar guru. Itulah ketentuan yang Maha Esa. Doa seorang ibu
itu yang akhirnya dikabulkan Allah swt. Walaupun sebelum ini aku lebih berhajat
untuk menjadi seorang saintis. Namun hajat itu dapat juga aku rasai dalam
beberapa tahun sebelum bergelar …Guru.
Sebelum
bergelar guru atau panggilan yang paling dikenali oleh sesiapa pun iaitu
“Cikgu”, aku telah melakukan bermacam-macam kerja. Aku pernah menjadi kerani
Kesatuan Guru-guru Agama Negeri Johor selama 3 tahun, sebelum aku memasuki
Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia). Semasa di UPM
aku ditawarkan program Diploma Sains Pertanian. Selepas setahun, aku telah ditawarkan
terus ke peringkat Sarjana Muda. Ketika inilah hajat hati untuk menjadi saintis
semakin cerah, apabila aku telah memilih program Sarjana Muda Sains
Bioteknologi. Selepas tamat pengajian, aku bekerja sebagai Pembantu Penyelidik
di UPM selama 3 bulan. Kemudian aku diterima bekerja sebagai Pegawai Penyelidik
kontrak selama 2 tahun di PORIM (yang kini dikenali sebagai MPOB).
Semasa bekerja sebagai
saintis atau penyelidik inilah aku mula merasakan seperti ada kekurangan dalam
diri ini. Seolah-olah bidang tugas ini macam tidak sesuai dengan aku. Di tambah
lagi dengan komen daripada beberapa rakan di tempat kerja yang menyatakan
bahawa aku lebih sesuai jika bekerja sebagai seorang guru. Mungkin mereka
melihat cara aku memberi tunjuk ajar kepada rakan penyelidik yang lain
berkenaan penggunaan alatan (HPLC), salah satu alatan makmal yang terkini
ketika itu dan aku telah dilatih menggunakannya oleh pihak pembekal. Selain
itu, aku juga telah diberi tanggungawab oleh Ketua Unit untuk membimbing seorang
pelajar Sarjana daripada Universiti Malaya dalam menjalankan projek untuk
tesisnya. Bermula dari sinilah, jiwa ini semacam terpanggil untuk meneruskan
kerjaya sebagai pendidik. Tidak kiralah samaada sebagai guru atau sebagai
pensyarah. Yang pentingnya dapat mencurahkan bakti dalam bidang pendidikan.
Lebih-lebih lagi tugas sebagai pendidik ini merupakan waris para nabi dan tugas
yang sangat mulia. Hati ini semakin berbunga
untuk memilih kerjaya sebagai pendidik. Akhirnya setelah tamat kontrak
di PORIM, aku telah memohon Diploma Pendidikan di UKM, tetapi gagal.
Pada tahun berikutnya
aku mengikuti program Diploma Bahasa Malaysia di Universiti Malaya selama
setahun. Selepas tamat pengajian di UM, aku pernah bertugas sebagai guru ganti
selama sebulan di SMK Munshi Abdullah di Melaka. Aku mengajar subjek Bahasa
Melayu tingkatan 6 rendah. Seronoknya bukan kepalang. Dapatlah aku merasai keadaan
sebenar sebagai guru. Di sinilah buat pertama kalinya aku dipanggil “cikgu”. Walaupun
hanya sebulan, namun sambutan positif daripada pelajar-pelajar yang aku ajar
dan guru-guru di sekolah tersebut menaikkan lagi semangat aku untuk menjadi
guru. Malah guru yang aku ganti ketika itu juga telah merujuk kepadaku tentang
bagaimana untuk mengajar Bahasa Melayu. Rupa-rupanya barulah aku tahu bahawa
guru tersebut baru posting dan tidak pernah lagi mengajar subjek tersebut.
Banyak hadiah ku terima pada hari terakhir di sekolah tersebut. Pengalaman
pertamaku menjadi guru sekolah ini merupakan kenangan yang tak dapat dilupakan
hingga ke hari ini. Terima kasih….. pelajar-pelajarku. Moga kalian hari ini
telah menjadi seseorang yang berguna untuk agama, masyarakat dan negara.
Pada tahun 1994 (sesi
1994/95), barulah aku berjaya ditawarkan mengikuti program Diploma Pendidikan
di UTM dalam opsyen Bahasa Melayu dan Sains.
Setelah berkursus selama lebih kurang setahun, tibalah masa untuk aku ditempatkan
ke sekolah. Ketika itu aku telah sarat mengandung anak pertama (satu-satunya
hartaku dunia dan akhirat). Aku memang berharap agar aku dapat ditempatkan di
sekolah yang berdekatan dengan rumah sewaku. Alhamdulillah…. akhirnya aku
ditempatkan di SMK Taman Tun Aminah, yang
mengambil masa 10 minit sahaja untuk ke sekolah.
Hari pertama ke
SMKTTA, aku terus menuju ke pejabat untuk melaporkan diri sebagai Guru Sandaran
Terlatih pada tanggal 4 September 1995. Aku disambut dengan senyuman mesra oleh
seorang guru lelaki berbangsa Cina yang sedang berdiri sambil memerhatikan gelagat
para pelajar beratur untuk masuk ke kelas. Beliau mempersilakan aku ke bilik
Pengetua, setelah aku nyatakan tujuan kehadiranku. Barulah aku tahu bahawa
beliau adalah Tuan Pengetua (En Tan Hock Chai). Aku seterusnya diberitahu akan
ditempatkan ke sebelah petang dibawah pimpinan En Seow Yee Woo sebagai Penyelia
Petang ketika itu. Aku telah diberikan jadual mengajar tingkatan 2 bagi subjek
kemahiran hidup, kerana ketika itu subjek kemahiran hidup sangat kekurangan
guru. Manakala subjek sains dan Bahasa Melayu (opsyen matapelajaranku) telah cukup
gurunya. Aku akur dengan apa yang telah ditetapkan, walaupun rasa agak sukar
kerana subjek yang agak asing juga bagiku. Namun ku yakinkan diri untuk
menghadapi semua itu dengan tabah. Aku hanya sempat mengajar sebulan sahaja
sebelum aku cuti bersalin dan cuti akhir tahun.
Di bawah pimpinan En
Seow Yee Woo dan beberapa orang guru kemahiran hidup, aku menjadi semakin yakin
meneruskan kerjayaku sebagai pendidik. En Seow Yee Woo, merupakan seorang guru
yang lemah lembut dan tegas. Beliau sangat disukai oleh murid dan guru-guru di
bawah pimpinannya. Walaupun aku tidak lama berada di bawah pimpinannya, tetapi
beliau telah banyak memberikan semangat dan tunjuk ajar. Yang paling aku kagumi
padanya ialah ketika beliau memberi ucapan semasa perhimpunan atau mesyuarat. Kefasihannya
bertutur dalam bahasa Melayu penuh bermakna dan tersusun indah, jika tidak
melihat orangnya pasti menyangka beliau orang Melayu. Beliaulah orang pertama
yang banyak memberi tunjuk ajar dan semangat kepadaku dalam dunia pendidikan
ini. Malah beliau juga yang memberiku semangat untuk aku meneruskan pengajianku
di peringkat sarjana, ketika itu aku hanya sambut kata-katanya dengan senyuman
sahaja. Aku tidak terfikir lagi. Apa yang ada di hati ini ialah perasaan untuk
menimba sebanyak mungkin pengalaman sebagai seorang guru.
Latihan perguruan selama
setahun di UTM, tidak banyak memberikan aku pengalaman. Tetapi di sekolah
pertama dan terakhir inilah yang banyak mengajar aku tentang kehidupan sebenar
sebagai seorang guru. Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Aminah, begitulah
namanya. Merupakan sebuah sekolah yang terletak di tengah-tengah taman
perumahan. Pelajar-pelajarnya terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India.
Malah pelajar Cina merupakan peratusan tertinggi iaitu hampir 80 peratus
berbanding Melayu dan India. Inilah cabaran besar bagiku, untuk berhadapan
dengan pelajar-pelajar yang banyak masalah disiplin terutamanya bagi
kelas-kelas akhir. Rata-ratanya tidak tahu membaca, jika boleh membaca pun
tidak faham apa yang dibacanya. Untuk menyahut cabaran ini, aku telah
melibatkan diri dengan beberapa orang guru petang yang mengajar Bahasa Melayu
untuk kelas peralihan. Aku telah menunjukkan cara mengajar membaca menggunakan
buku ‘Bacalah anakku’ kepada guru-guru yang terlibat dalam kelas tersebut.
Kaedah ini aku rasakan mungkin lebih berkesan dan cepat dalam mengajar membaca
kepada kanak-kanak, kerana aku telah praktikkan kepada anakku sendiri. Ketika
berumur empat tahun dia telah pandai membaca. Cadangan ini, sedikit sebanyak
dapat juga mengurangkan bilangan pelajar-pelajar yang tidak tahu membaca di
sekolah ini ketika itu.
Masalah disiplin,
terutamanya masalah gangster yang terdiri daripada tiga bangsa (gangster
Melayu, Cina dan India) merupakan cabaran yang besar juga di sekolah ini.
Setiap guru yang bertugas sentiasa rasa kecut perut jika bertugas di kantin
pada waktu rehat. Apa tidaknya…. Tiba-tiba sahaja tong sampah melayang-layang,
piring cawan melayang merupakan perkara biasa. Hampir setiap hari ada sahaja
pergaduhan. Tidak cukup di kawasan sekolah sehingga berlarutan di luar sekolah.
Yang teruknya guru disiplin ketika itu, En Lim Siang Hwan dan En Zailan. Asyik
keluar masuk balai polis untuk menyelesaikan pelbagai kes disiplin. Sehinggakan
sekolah SMKKTA terkenal dengan jolokan nama ‘sekolah gangster’. Akhirnya
apabila pihak polis memberi bantuan dengan membuka kaunter di sekolah, barulah
masalah gangster ini berkurangan. Selain dari itu, semua guru telah
diperingatkan lagi tentang tanggungjawab membentuk disiplin pelajar adalah
tanggungjawab semua guru. Kerjasama daripada semua guru amat penting untuk
menyelesaikan masalah disiplin ini. Terutamanya guru-guru matapelajaran, mereka
juga bertanggungjawab mendidik sahsiah pelajar. Tugas itu bukan terpikul kepada
guru-guru agama dan moral atau guru disiplin sahaja.
Begitulah hebatnya
tugas seorang guru, mereka merupakan guru matapelajaran, guru kaunseling, guru
disiplin, guru moral dan agama, malah mereka juga merupakan pengganti kepada
ibu bapa sepanjang berada di sekolah. Tidak habis tugasnya di situ, malah dalam
banyak tugas pengurusan sekolah juga mereka terlibat. Mereka terlibat dalam pendaftaran
murid, pungutan yuran, mengambil kehadiran murid, mengenalpasti dan menangani
masalah ponteng dan berbagai-bagai lagi. Kadangkala tugas tersebut tidak habis
di sekolah, terpaksa di selesaikan di rumah. Itulah cikgu…
Inginku ceritakan
juga di sini, pengalamanku sebagai guru kemahiran hidup. Sepanjang lebih 10
tahun aku berada di SMKTTA, aku hanya mengajar subjek ini. Kalau ada pun subjek
lain, hanya sekejap. Malah aku lebih dikenali sebagai guru kemahiran hidup
(elektif kemahiran teknikal). Pelajar-pelajarku pula terdiri daripada pelajar
lelaki sahaja. Kalau dilihat dengan pakaianku, orang yang tidak mengenaliku
pastinya menganggap aku seorang ustazah. Rupa-rupanya guru yang mengajar
pertukangan kayu, kerja paip, elektrik, elektronik, lukisan teknik, enjin,
pertanian, perakaunan dan sebagainya. Begitulah rojaknya matapelajaran yang aku
ajar. Aku kena mahir dalam semua hal tersebut. Hari pertama aku ke sekolah ini,
aku diberi tahu akan mengajar tajuk perakaunan (akaun tunai, akaun bank, akaun
jualan, akaun belian). Aduh… bengang juga aku. Bagaimana aku nak mengajar
matapelajaran yang tak pernah aku pelajari selama ini? Alhamdulillah…. Aku
diberi tunjuk ajar oleh guru yang akan aku ambil alih tugasnya, kerana beliau
akan melanjutkan pelajarannya (beliau guru GSTT). Beliau memang mahir dalam bab
perakaunan kerana memang bidangnya di UITM. Sempatlah aku menimba ilmu
daripadanya dan daripada beberapa guru lain yang lebih berpengalaman seperti Pn
Adibah Akhyak (Ketua Panitia Kemahiran Hidup). Selain itu, aku juga banyak
membaca buku-buku perakauanan untuk aku lebih memahaminya. Akhirnya aku menjadi
semakin yakin mengajar bab perakaunan ini kepada murid-muridku.
Selesai bab
perakaunan, aku kena mengajar tajuk kerja kayu pulak… Macamana ni? Nak pegang
tukul pun tak tahu, ini nak guna gergaji lagi… Masalah besar bagiku. Mujurlah
suamiku pandai menukang, beliaulah guru pertamaku dalam bab pertukangan kayu.
Malah beliaulah yang membantuku menggunakan gergaji elektrik untuk memotong
kayu untuk diagihkan kepada pelajar. Ketika itu…., aku berasa sangat takut
untuk menggunakannya. Walaupun telah ditunjuk ajar oleh guru yang mahir. Namun
aku masih tidak berani, rasa macam nak menangis. Suamikulah satu-satunya
tempatku mengadu dan membantuku dalam hal ini. Beliau akan datang ke sekolah
pada hari Sabtu dan Ahad untuk membantu memotong kayu-kayu tersebut. Begitulah
pengalamanku dalam tahun pertama menjadi guru kemahiran hidup.
Lama-kelamaan aku telah boleh menggunakan pelbagai jenis gergaji. Aku sudah tidak takut lagi. Aku boleh mengajar pelajar dalam tajuk kerja kayu dengan lebih yakin. Aku menjadi lebih mudah untuk meyakinkan pelajar-pelajar yang baru belajar menggunakan gergaji. Pernah satu ketika aku berhadapan dengan pelajar perempuan yang sangat takut untuk menggunakan gergaji elektrik mudah alih, hingga menangis teresak-esak. Aku teringat dengan pengalaman pertamaku dengan gergaji elektrik. Begitulah agaknya perasaannya. Sebagai guru, kita perlu terlebih dahulu ada keyakinan dan kemahiran ini. Barulah mudah bagi kita mendapat kepercayaan pelajar.
Lama-kelamaan aku telah boleh menggunakan pelbagai jenis gergaji. Aku sudah tidak takut lagi. Aku boleh mengajar pelajar dalam tajuk kerja kayu dengan lebih yakin. Aku menjadi lebih mudah untuk meyakinkan pelajar-pelajar yang baru belajar menggunakan gergaji. Pernah satu ketika aku berhadapan dengan pelajar perempuan yang sangat takut untuk menggunakan gergaji elektrik mudah alih, hingga menangis teresak-esak. Aku teringat dengan pengalaman pertamaku dengan gergaji elektrik. Begitulah agaknya perasaannya. Sebagai guru, kita perlu terlebih dahulu ada keyakinan dan kemahiran ini. Barulah mudah bagi kita mendapat kepercayaan pelajar.
Lukisan teknik, satu
lagi tajuk yang sukar bagiku. Aku dulu pelajar aliran sains. Tidak pernah
terlintas pun dibenakku untuk mengajar lukisan teknik. Satu bidang yang sangat
asing bagiku. Macamana aku nak mengajar tajuk yang aku sendiri tidak faham dan
tidak mahir. Namun guru-guru yang berpengalaman di sekolahku telah banyak
memberi bimbingan dan tunjuk ajar. Antaranya Pn Maznah, En Hamsari dan En
Ishak. Mereka inilah orang yang banyak mengajar aku tentang tajuk-tajuk dalam kemahiran
teknikal terutamanya dalam bab lukisan teknik. Oleh kerana aku mengajar di
sebelah petang, aku ada kesempatan untuk hadir ke kelas En Hamsari di sebelah
pagi untuk melihat bagaimana beliau mengajar tajuk lukisan teknik kepada
pelajar-pelajar tingkatan 3 (bab ulangkaji tingkatan 1 dan 2). Begitulah aku
gigihkan usaha untuk belajar sehingga mahir dalam lukisan teknik ini. Akhirnya
aku semakin mahir dan lebih berkeyakinan untuk mengajar terutama kelas-kelas
pertama. Sehingga aku boleh mengajar mereka tentang bagaimana melukis elips
(bentuk bulat pada kedudukan oblik atau isometrik). Cabaran bagiku ketika
mengajar kelas-kelas pertama ini, pelajar-pelajar mengharapkan sesuatu yang
lebih daripada guru. Oleh itu, selalunya aku akan menambahkan kemahiran (pengayaan)
untuk kelas-kelas pertama sebagai asas sebelum mereka pergi ke perigkat lebih
tinggi. Alhamdulillah … aku berasa satu kepuasan bila mana mendapat tahu, ada
antara pelajarku yang telah berjaya menjadi arkitek, jurutera dan sebagainya.
Tajuk-tajuk yang lain
dalam matapelajaran kemahiran hidup untuk tingkatan 1 dan 2 ini, tidak begitu
sukar bagiku kerana kebanyakannya aku pernah belajar. Lebih-lebih lagi dalam
tajuk pertanian, merupakan bidang yang sangat aku minati. Semasa aku mula
mengajar di sekolah ini, rumah hijau (bengkel pertanian) yang ada seperti tidak
pernah digunakan. Pokok-pokok yang ada hanyalah pokok lidah jin merupakan jenis
pokok yang memang tahan lasak. Tidak perlu penjagaan. Aku telah diberi tugas
oleh Ketua Panitia menjadi penyelaras rumah hijau. Ketika itu, aku mengajar
tingkatan 2. Aku bertekad untuk menghidupkan kembali rumah hijau agar menghijau
dengan kehijauan pokok-pokoknya. Pada peringkat awal, aku dengan dibantu oleh
beberapa orang pelajarku telah mengemaskini dan menyenaraikan bahan-bahan dan
alatan yang ada serta perlu dibeli. Kemudian aku minta pelajar-pelajar membawa
anak pokok sendiri untuk di tanam ke dalam pasu, yang mana ini ada dalam
silibus tingkatan 2. Aku ajar pelajar cara-cara membuat tanah campuran secara
amali. Oleh kerana pelajar-pelajarku terdiri daripada pelajar lelaki, maka
tidak menjadi masalah untuk melaksanakan aktiviti ini. Malah mereka rasa
seronok. Lebih-lebih lagi bagi kelas-kelas akhir.
Selain itu, aku
jadikan juga aktiviti di rumah hijau seperti penjagaan, penyiraman dan
pembajaan sebagai aktiviti secara berterusan bagi pelajar-pelajar lelaki dalam Persatuan
Kemahiran Hidup. Pengurusan ini aku lakukan dengan bantuan En Mohd Zain Kosnon
(kini pensyarah di IPKTI) dengan beberapa orang pelajar yang berminat dengan
kerja-kerja pertanian. Aku juga amat bersyukur, kerana mendapat sokongan padu
daripada Ketua Panitia. Kami telah bersama-sama berusaha bertungkus lumus untuk
menghijaukan dan menceriakan lagi rumah hijau. Akhirnya rumah hijau ini telah
mendapat pujian daripada PPD Johor Bahru sebagai rumah hijau terbaik bagi
sekolah yang bukan elektif pertanian.
Hasil tanaman dalam
pasu ini juga pernah digunakan sebagai hiasan pentas semasa hari terbuka PIBG.
Ini semua atas nasihat En Aminuddin Adam (ketika itu pernah menjadi Penolong
Kanan HEM). Sehinggakan mendapat pujian daripada pengetua-pengetua sekolah lain
yang hadir. Pokok-pokok hiasan itu, ada juga yang dijual semasa hari terbuka
sekolah sebagai mengisi tabung persatuan. Aku ajar kepada pelajar-pelajarku
bagaimana menjadikan hasil pertanian sebagai perniagaan. Tidak hanya menanam
tanaman dalam pasu, aku juga bersama dengan Pn Ng Siam Noi telah bertemu dengan
pegawai pertanian daerah Johor Bahru untuk mendapatkan nasihat tentang tanaman
hidroponik. Sehingga akhirnya kami berjaya mengadakan kursus tanaman hidroponik
kepada guru-guru dan pelajar-pelajar yang berminat. Kursus ini dikendalikan
oleh pegawai pertanian. Kemudian pihak sekolah telah disumbangkan 20 buah
takung hidroponik. Berbekalkan pengetahuan dan bahan yang ada, aku bersama
pelajar-pelajar persatuan telah mengusahakan tanaman sayur hidroponik seperti
kailan, bayam dan salad. Hasilnya sungguh menakjubkan. Saiznya dua kali lebih
besar daripada saiz biasa. Mulanya sayur-sayuran tersebut hanya dijual kepada
guru-guru dan staf sekolah sahaja. Kemudian kami jual semasa hari terbuka
sekolah. Jualan ini telah mendapat sambutan hangat daripada ibu bapa. Malah ada
yang kecewa kerana telah kehabisan. Aku sungguh terharu melihat keadaan ini, pelajar-pelajarku
telah berjaya menjadi penjual sayur tanpa rasa kekok.
Satu hal yang amat
aku senangi sepanjang berada di sekolah ini ialah mudahnya mendapat kerjasama daripada
guru-guru yang rata-ratanya sangat komited terhadap kerja dan tanggungjawab
masing-masing. Lebih-lebih lagi, guru-guru kemahiran hidup. Kami saling
bekerjasama seperti satu keluarga. Di bawah pimpinan ketua Panitia Pn Adibah,
kami sentiasa berbincang mengenai cara-cara untuk meningkatkan keberkesanan
pengajaran kami. Biasanya guru-guru yang mahir akan membimbing guru-guru yang baru. Selain itu, kami juga
sering mengadakan majlis atau aktiviti seperti jamuan, perkelahan dan lawatan
bersama-sama dengan ahli keluarga masing-masing. Ini menyebabkan kami rasa
begitu akrab. Sehingga kini, aku masih terasa kerinduan dengan suasana itu.
Begitulah sekelumit
pengalaman yang dapat aku coretkan untuk tatapan pembaca yang budiman.
Mudah-mudahan coretan ini jika ada yang baik bolehlah dikongsikan sebagai
contoh dan tauladan. Yang kurang elok jadikanlah sempadan. Aku berharap perjalananku sepanjang bergelar
guru akan sentiasa diberkati dan dipimpin Ilahi, agar aku mampu meneruskan
perjuangan demi melahirkan generasi yang cemerlang bukan sahaja akademiknya
tetapi yang paling penting ialah cemerlang dari aspek sahsiah dan
keperibadiannya. Semoga mereka yang terlibat samada secara langsung atau tidak
langsung dalam menyumbangkan bimbingan dan tunjuk ajar kepadaku sehingga aku
bergelar guru, akan diterima oleh Allah swt sebagai amalan soleh.
Akhir sekali inginku
ungkapkan pantun yang dihasilkan oleh Profesor Hamka, iaitu seorang ulamak,
pujangga dan pendidik ulung di nusantara:
Penakik
pisau seraut,
Ambil
galah batang lintabung,
Seludang
jadikan nyiru;
Setitik
jadikan laut,
Sekepal
jadikan gunung,
Alam
terbentang jadikan guru.