Friday 4 November 2011

Masa yang sangat berharga

Ahli dunia mengira bahawa syurganya terletak pada nilai material, wanita dan gedung-gedung mewah. Namun bagi seorang mukmin, syurganya terletak pada mihrabnya. Sekalipun Allah menganugerahkan kepadanya banyak hal yang diperbolehkannya untuk dimilikinya. Muknin sejati mempunyai kesenanganya yang tersendiri, iaitu dengan menghadapkan dirinya kepada Tuhannya dengan jiwa yang bersih. Sehinggakan segala kesenangan duniawi yang diperbolehkan untuknya memiliki itu akan lenyap dari jiwanya lantaran kelazatan menghadap Tuhannya mengatasi segala-galanya. Seringkali mukmin ini akan menjauhi banyak hal yang diperbolehkan itu agar kebersihan jiwanya terhindar daripada pencemaran yang akan mengeruhkan suasana kejernihan rohaninya.

Sikap tersebut telah pun di amalkan oleh orang-orang mukmin yang terdahulu, bahkan sehingga pada abad ini. Mereka lebih menyukai kehidupan yang sederhana sahaja, walaupun hakikatnya mereka berkemampuan untuk hidup mewah.

Sesungguhnya peranan solat merupakan faktor yang amat penting bagi mengubah segala kerumitan hidup manusia yang komplek dan berpanjangan. Sehingga membuatnya bosan dan sering mengeluh. Hal ini akan dapat diselesaikan hanya melalui solat yang memerlukan beberapa minit sahaja, tetapi mampu merubah kehidupannya menjadi penuh ketenangan.

Kehidupan orang yang jahil adalah kebekuan yang berterusan. Sedangkan kehidupan orang yang mengerjakan shalat dipenuhi dengan gerakan untuk menambah nilai kebenaran atau meluruskan penyimpangan. Sesungguhnya solat itu dimulai dengan Allahu Akbar (Allah Maha Besar) yang dapat mengakhirkan kebekuan ini dengan menggugah pelakunya untuk melakukan gerakan.

Gerakan paling menonjol sebagi hasil daripada takbir adalah gerakan pemisahan antara kekasih-kekasih Tuhan yang Maha Pemurah dengan kekasih-kekasih syaitan. Kerana apabila kita membaca:

             " Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau anugerahkan nikmat kepada    mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan pula (jalan) mereka yang sesat." (Al-Fatihah : 6-7)

Sepatutnyalah kita merasakan dalam setiap rakaat solat, keadaan tiga golongan manusia. Mengingati Nabi saw dan para sahabatnya radhiallahu'anhum, sebagai gambaran orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah swt. Manakala Abu Jahal dan Musailamah al-Kadzdzzab sebagai gambaran orang-orang yang dimurkai Allah swt dan orang-orang yang sesat. Demikianlah seterusnya pada rakaat yang lain dengan gambaran yang lain seperti contoh-contoh manusia yang ada dalam Al-Quran.

Oleh yang demikian barulah kita dapat menghayati solat dengan sebenar-benarnya. Dengan mengerjakan solat bererti kita telah bergabung dengan kaum mukminin dan memisahkan dengan kaum yang membuat kerosakan. Itulah gerakan iman, sesungguhnya iman yang benar adalah yang menggerakkanmu untuk memisahkan dari golongan yang lain (yang murkai Allah swt).

Rujukan: Buku Pelembut Hati (Muhammad Ahmad ar-Rasyid)



Thursday 3 November 2011

Lecture Notes

Career Path & Experience

Publications


Publications:

1. F. Suratman, F. Huyop and G.K.A. Parveez, 2009. In vitro Shoot Regeneration of Citrullus vulgaris Schrad (Watermelon). Biotechnology, 8: 393-404.http://scialert.net/fulltext/?doi=biotech.2009.393.404

2. Faridah Suratman, Alina Wagiran, Zaidah Rahmat , Hamidah Ghazali & Fahrul Zaman Huyop. (2007). Optimization of Biolistic Transformation of Yellow Watermelon Cotyledons Using Gene for β-Glucuronidase as a Visual Marker. Abstract of the Asia Pacific Conference on PLant Tissue Culture and Agribiotechnology (APaCPA) 2007, Kuala Lumpur, 17th-21st June 2007.

3. Faridah, S., Alina, W., Zaidah, R., Hamidah, G. & Fahrul, H. (2006). Shoot Regeneration System of Watermelon From Cotyledon. Abstract of the 10th Seminar on Medicinal and Aromatic Plants 2006, Forest Research Institute Malaysia, Malaysia, 12-13th September 2006..

Artikel:

1. Majalah Semaian Subur Tahun 2010. Hebatnya Ciptaan Tuhan: Kejadian Bintang.

HEBATNYA CIPTAAN TUHAN:
 Kejadian Bintang

Sesungguhnya Rabb kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia bersemayam di atas Arsy. Dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (masing-masing) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, menciptakan dan memerintahkan hanyalah hak Allah. Maha suci Allah, Rabb semesta alam. (QS. Al A’raaf, 7:54)

Marilah kita bersama-sama mendongakkan kepala dan melihat ke langit di malam yang gelap pekat ini. Betapa indahnya malam dengan bulan dan bintang yang menghiasi alam yang tiada akan bercahaya tanpa izinNya. Manakala siang dan malam yang silih berganti itu, tidak sekali-kali menyalahi aturanNya. Subhanallah!.. Maha berkuasanya Allah yang menciptakannya.

Andainya kita seorang penyair, penyajak, penggubah lagu, pastinya segala keindahan bulan dan bintang ini akan mencetuskan idea-idea yang cukup menarik untuk digambarkan dalam bait-bait puisi. Demikian juga bagi jiwa-jiwa yang sedang gundah gulana, pasti hatinya akan terubat dan merasai ketenangan yang tidak dapat diungkapkan dengan  kata-kata.

Pernahkah kita terfikir bagaimana cakerawala yang tiada penghujungnya ini terbentuk? Bagaimana bulan dan bintang yang hebat ini dapat muncul? Pada zaman dahulu, pengetahuan manusia tentang angkasa amat terbatas. Oleh itu, wujudnya berbagai-bagai andaian dan pendapat yang aneh tentang alam ini. Hari ini, manusia telah berupaya meneroka angkasa raya ini dengan pelbagai alat-alat yang canggih.

Pakar astronomi Edwin Hubble merupakan  ahli sains pertama yang membuktikan alam ini mempunyai permulaan. Beliau yang bekerja dengan sebuah teleskop gergasi, suatu hari pada tahun 1929, mendapati bintang-bintang ini bergerak yang bererti bahawa cakerawala tersebut sedang membesar. Semua ahli sains juga telah bersetuju bahawa bintang-bintang adalah bergerak antara satu sama lain. Pergerakan bintang-bintang ini adalah satu maklumat penting tentang penciptaan alam ini. Manakala fakta yang menunjukkan bahawa bintang-bintang ini bergerak menjauhi antara satu sama lain, telah membuktikan bahawa suatu masa dahulu bintang-bintang ini adalah bercantum. 

Cakerawala ini hanya wujud setelah berlakunya satu letupan, berjuta-juta tahun dahulu.  Serpihan-serpihan yang wujud hasil daripada letupan itu telah bergerak dan berselerak ke merata tempat dan mula membentuk cakerawala, planet-planet dan lain-lain. Letupan yang dinamakan Big bang merupakan permulaan kepada penciptaan cakerawala oleh Tuhan semesta alam. Ini adalah tanda betapa hebatnya kekuasaan Tuhan. Sekiranya seluruh manusia bergabung sekalipun, nescaya tidak akan dapat meniru letupan sebesar  Big bang  ini.

Sesungguhnya tidak ada suatu letupan pun di dunia ini yang akhirnya akan dapat membentuk satu struktur yang tersusun. Malah pastinya suatu kemusnahan dan kerosakan. Seperti mana yang berlaku di negara-negara yang sedang dilanda peperangan. Semuanya akan musnah, selepas berlakunya letupan demi letupan. Sangat berbeza dengan Big bang yang telah menghasilkan letupan berbilion kali ganda kekuatan bom atom ini. Hasil letupan tersebut telah membentuk sebuah dunia yang sempurna dan tersusun. Bagaimana ini terjadi? Allah SWT lah yang mencipta cakerawala ini melalui letupan Big bang dan Allah juga yang menyusun alam ini dengan begitu sempurna. Begitulah hebatnya kuasa Allah swt.

Allah Maha Berkuasa menciptakan bintang-bintang

Allah Maha berkuasa yang menciptakan cakerawala ini. Apabila kita mengundurkan masa, cakerawala ini juga akan menjadi lebih muda dan menjadi semakin kecil sehingga menjadi satu titik yang akhirnya hilang. Semua ini membuktikan cakerawala ini telah "dicipta". Hanya Allah yang dapat mewujudkan sesuatu daripada ketiadaan. Apatah lagi dengan cakerawala ini yang mengandungi  banyak bintang-bintang dengan sistemnya yang begitu rumit. Kerdipan bintang-bintang yang memancarkan keindahannya di malam yang gelap, begitu mengkagumkan. Tidak terasakah kita kehebatan dan kebesaran Allah yang Maha berkuasa? Apabila menatap lukisan alam ini yang begitu indah. Tidak terasakah kita betapa kerdilnya kita. Tidak terfikirkah kita bagimana bintang-bintang yang indah ini terbentuk?

Sebenarnya bintang-bintang dan planet-planet terbentuk adalah melalui pemampatan gas-gas dan debu-debu di angkasa yang dinamakan ‘nebula’.  Nebula tidak mempunyai cahaya sendiri. Tetapi bintang memberikan kepanasan, cahaya dan tenaga. Bintang-bintang ini merupakan objek-objek yang besar dan jumlahnya sangat banyak. Sekiranya dihitung pasir-pasir di semua pantai dan gurun di bumi ini, jumlah bintang di langit adalah 10 kali ganda daripada jumlah itu. Saiz bintang-bintang yang besar ini pula lebih besar daripada matahari. Tahukah anda, bahawa bintang juga mempunyai jangka hayat? Bintang  bukan benda hidup, tetapi bintang di lahirkan, kemudian hidup dan akhirnya akan mati.
Maksud Surah al-Fusillat ayat 11:
   “Kemudian Dia menuju ke langit dan (langit) itu masih berupa asap, lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi, ‘ Datanglah kamu berdua menurut perintahKu dengan patuh dan terpaksa.’ Keduanya menjawab, ‘Kami datang dengan patuh.’
Ayat tersebut membuktikan bahawa bintang tercipta daripada gumpalan asap tebal. Sains membuktikan bahawa asap yang dimaksudkan ini merupakan kandungan gas-gas hidrogen dan helium. Salah satu kajian dalam bidang astrofizik telah mengenalpasti keadaan alam selepas berlakunya peristiwa Big Bang iaitu pengembangan alam berlaku pada suhu yang tinggi, kemudian selepas tiga minit proses penyejukaan pula berlaku. Keadaan ini menyebabkan kelahiran proton dan neutron dan percantuman antara keduanya melahirkan nukleus. Akhirnya lahirlah atom hidrogen dan helium, apabila nukleus ini bercantum dengan elektron. Gas-gas hidrogen dan helium akan bercantum kesan daripada tarikan graviti dan menghasilkan gumpalan-gumpalan asap. Selepas jutaan tahun, gumpalan asap ini akan membentuk bintang-bintang, galaksi, planet dan bumi.

Kenyataan ayat Quran ini juga dikagumi oleh seorang saintis daripada Universiti Tokyo, Jepun, iaitu Profesor Yoshihide Kozai dengan katanya, “Saya kagum dengan fakta-fakta astronomi yang terdapat dalam Quran. Dengan membaca Quran, dapat menjawab persoalan-persoalan yang timbul, saya rasa akan menemui cara untuk mengkaji alam semesta pada masa akan datang.” (A Brief Understanding Islam, Darus Salam Publication, Mei 1990).

Saintis pada hari ini menyatakan black hole adalah satu objek yang menakjubkan, malahan ada yang menganggapnya sebagai objek raksaksa (monster) yang dahsyat. Beratnya menghampiri berat 10 bilion matahari dan merupakan objek yang paling jauh daripada bumi iaitu 12.5 bilion tahun cahaya. Black hole terhasil daripada bintang-bintang besar yang meletup di angkasa raya. Letupan yang dahsyat ini dikenali sebagai supernova. Ini berlaku kerana sesetengah bintang bersaiz 10 hingga 15 kali ganda lebih besar daripada matahari. Oleh itu, black hole diibaratkan sebagai tanah perkuburan bagi bintang-bintang.

Penemuan terkini mendapati, black hole juga menjadi tempat kelahiran bintang-bintang baru. Pakar-pakar mendapati kuasa magnet di sekeliling black hole mampu menggerakkan elektron kepada kelajuan menghampiri kelajuan cahaya. Elektron-elektron ini akan terpancar keluar lalu bertembung dengan gas hydrogen. Seterusnya akan berlaku proses-proses tertentu yang melahirkan bintang-bintang. Penemuan ini dilaporkan oleh Bjorn Carey di space.com di bawah tajuk Astronomers Surprised: Stars Born Near Black Hole pada 13 Oktober 2005 (Dr Danial Zainal Abidin, 2007).

Kejadian bintang-bintang di langit atau di angkasa raya ini sememangnya menakjubkan. Demikian juga dengan akhir hayatnya. Bintang yang beratnya berganda-ganda berbanding dengan matahari akan hancur  melalui satu ledakan  besar yang melahirkan black hole. Namun bagi kebanyakan bintang yang beratnya tidak melebihi dua kali ganda berat matahari, hayatnya akan berakhir dengan gumpalan gas berbentuk asap. Apabila gumpalan asap ini berinteraksi dengan foton ultra ungu (photons), maka asap ini akan mula bersinar dalam bentuk bunga ros. Inilah yang ditemui oleh pakar-pakar ilmu astronomi di alaf ketiga ini. Seperti yang dilaporkan dalam CNN.com bertarikh 12 September 2002 di bawah tajuk, “Hubble Spies Soft Rose In Tough Neighborhood.”

Bintang-bintang ini sangat berguna dan memberi faedah kepada manusia yang berfungsi sebagai penunjuk jalan bagi para pengembara. Syukur kepada Allah yang Maha Pencipta…… Sebagaimana Firman Allah dalam Surah an-Nahl ayat 16.
   “Dan Dia menciptakan tanda-tanda (penunjuk jalan). Dan dengan bintang-bintang mereka mendapat petunjuk.”
Di sepanjang perjalanan ini kita telah menyaksikan keindahan alam ciptaan Allah dan semuanya sangat seimbang. Malah berjuta keseimbangan halus wujud dalam cakerawala ini. Bintang-bintang yang wujud ini tidak pegun, malahan bergerak, berputar, berpusing dan mengalami kehancurannya Siapakah yang menentukan kesemua ini? Perancangan siapakah yang menyebabkan bintang-bintang ini tidak berlanggaran antara satu sama lain? Siapakah yang menentukan kestabilan angkasa raya ini selepas letupan yang dahsyat berlaku? Sudah pasti perancang dan pencipta ini Maha hebat yang menciptakan segalanya dengan penuh kehalusan dan kasih sayang. 

Rahsia-rahsia yang tersembunyi di alam ini seolah-olahnya merupakan tanda-tanda Allah sebagai penciptanya. Kesempurnaannya juga merujuk kepada tidak adanya sebarang kesilapan. Meskipun begitu, bintang-bintang yang sangat banyak ini tidak pernah berlaku sebarang perlanggaran antara satu sama lain. Seluruh alam ini pastinya berada dalam keadaan yang sangat seimbang. Sebagaimana firman Allah swt dalam Surah al-Mulk ayat 3-4 yang bermaksud:

 “(Allah) yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang kali, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang? Kemudian pandanglah sekali lagi nescaya penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan tidak menemukan sesuatu yang cacat dan penglihatanmu itu pun dalam keadaan payah.”

Marilah kita bersama-sama menghayati ciptaan Allah swt ini agar kita merasai betapa hebatnya kekuasaan Allah yang Maha berkuasa menciptakan dan  merasai kasih sayang Allah swt yang Maha pengasih. Apabila kita semakin merasai kebesaran dan kehebatan Allah ini, maka akan bertambahlah rasa keimanan. Mudah-mudahan hati kita semakin merasai lebih takut untuk melakukan kesalahan atau dosa dalam kehidupan ini.


2. Majalah Semaian Subur Tahun 2011. Air ...... Ohh .... Air.

                     AIR ….OH! AIR….

                                                                                  Flickr.com                                                                                
          zona-artis blogspot                                                                              

 
                              

                                                                                                                                                                                                                                   
          Air merupakan anugerah Tuhan yang paling penting kepada semua hidupan. Tidak kiralah samaada hidupan itu sekecil bakteria mahupun  sebesar-besar haiwan seperti ikan paus. Air telah membentuk 90% daripada berat sel yang merupakan unit asas kepada hidupan. Manakala kandungan air dalam seluruh tubuh manusia adalah sekitar 40 hingga 50 liter, iaitu anggaran 70%. Kehadiran air amat penting sebagai media bagi tindakbalas kimia, pengangkut pelbagai bahan pelarut dan juga sebagai pengangkut, menyimpan dan menyingkirkan bahan-bahan hasil sampingan yang tidak diperlukan oleh tubuh. Sesungguhnya air amat penting kerana tanpanya sudah pastilah proses hidupan tidak akan berlaku.

Lebih 70% permukaan bumi kita adalah dilitupi dengan air, dengan kira-kira 98% daripadanya adalah lautan. Manakala selebihnya adalah air di permukaan bumi yang terdiri daripada tasik-tasik dan sungai-sungai.  Memandangkan begitu banyaknya air dan sangat mudah pula diperolehi, menunjukkan kepada kita betapa hebatnya peranan air dalam kehidupan ini. Lebih-lebih lagi dengan sifat unggul air yang merupakan sebatian yang terdiri daripada hidrogen dan oksigen. Setiap satu molekul air terbentuk dengan dua atom hidrogen dan satu atom oksigen yang disusun pada sudut 104.5º. Kesan struktur molekul ini yang terdapat sedikit cas negatif di sekitar molekul oksigen dan sedikit cas positif di sekitar molekul hidrogen, telah menyebabkan molekul air adalah bercas (molekul berkutub). Apabila molekul-molekul air ini berdekatan antara satu sama lain, maka molekul-molekul ini akan menyusun dirinya dengan keadaan hidrogen yang bercas positif daripada satu molekul ditarik ke arah oksigen bercas negatif daripada molekul lain. Tarikan antara molekul jenis ini dikenali sebagai ikatan hidrogen (Rajah 1). Jika ikatan ini tidak berlaku, sudah pastilah air tidak akan wujud sebagai cecair seperti yang sedia adai. Malahan segala hidupan di dunia ini juga tidak akan wujud.
Rajah 1: Pembentukan ikatan hidrogen di antara dua molekul air.

            Sifat-sifat air secara fizikal dan kimianya sememangnya dicipta khusus oleh Tuhan sebagai bahan asas untuk hidupan. Apabila air menyejukbeku akan membentuk ais, yang mana molekul-molekul air ini akan menyusun dirinya membentuk susunan tetrahedron (molekul-molekul hidrogen yang berikatan). Bentuk ini merupakan struktur-struktur berhablur. Semasa ais melebur pula, ikatan-ikatan hidrogen akan terputus beransur-ansur. Ini memerlukan tenaga tambahan bagi menghasilkan pengewapan. Molekul-molekul air yang terbentuk daripada peleburan ais adalah tersusun dengan lebih padat. Oleh itu, air pada suhu 0ºC hingga 4ºC adalah lebih tumpat daripada ais pada suhu yang sama. Manakala pada suhu yang lebih tinggi daripada 4ºC, tenaga terma yang lebih besar akan menolak molekul-molekul air supaya berjauhan. Ini menyebabkan air akan mengembang dan akan menjadi kurang tumpat. Berbeza dengan kebanyakan hablur adalah lebih tumpat daripada cecairnya, tetapi ais adalah berkecuali. Inilah sifat istimewa air, menyebabkan ais boleh terapung di dalam air. Ciri-ciri  air yang istimewa ini sangat penting kepada haiwan-haiwan akuatik yang hidup di dalam kolam, sungai dan tasik.

            Bayangkanlah apakah yang akan berlaku jika ais lebih tumpat daripada air? Sudah pasti ais akan tenggelam dan memenuhi dasar tasik, laut atau sungai. Akibatnya bukan sahaja semua hidupan akuatik akan tertimbus dengan ais, malahan tasik atau laut akan menjadi sejuk dalam tempoh yang agak lama. Apabila lautan menjadi lebih sejuk, ini akan mempengaruhi iklim bumi. Begitulah hebatnya ciptaan Tuhan! Ais yang kurang tumpat daripada air ini memberikan banyak kebaikan kepada semua hidupan. Apabila air pada permukaan tasik atau laut yang kaya dengan oksigen itu lebih sejuk dan lebih tumpat pada musim luruh, air ini akan tenggelam ke dasar dan menggantikan air yang lebih panas di dasar tasik. Air yang panas ini pula kaya dengan garam-garam mineral kepada tumbuhan seperti fitoplankton yang hidup berhampiran dengan permukaan tasik atau laut. Lihatlah betapa pentingnya kitaran air ini kepada proses hidupan.

            Kitaran ai ini akan berterusan sehingga seluruh air tasik atau laut mencapai suhu 4ºC (merupakan suhu di mana air berada dalam keadaan paling tumpat). Oleh itu, penyejukkan seterusnya mengakibatkan pembentukan satu lapisan ais pada permukaan tasik atau laut. Satu kesan yang besar, hasil daripada pengembangan air semasa sejuk beku ialah membantu memecahkan batuan bagi pembentukan tanah. Tanpa tanah, sudah pasti daratan akan menjadi gondol. Bahkan suhu akan berubah kerana tanpa kehadiran tumbuhan. Akibatnya, tidak wujudlah sebarang kehidupan di dunia ini. Demikianlah hebatnya ciptaan Tuhan. Bermula daripada setitis air sahaja, tetapi memberi impak yang sangat besar kepada seluruh kehidupan ini.

            Perhatikanlah juga betapa ajaibnya ciptaan Tuhan yang berupa air ini. Lautan yang terbentang luas itu juga, hanya berasal daripada setitik air. Namun apabila telah berkumpul menjadi satu, berupa alunan ombak yang dahsyat dan gelombangnya  yang bagaikan gunung tingginya mampu menghasilkan kekuatan beribu kali ganda kuasa kuda. Sehingga mampu memusnahkan apa sahaja, samada bangunan pencakar langit atau besi-besi yang beratnya beribu tan yang ada di hadapannya. Tetapi dengan air itu jugalah bergantungnya segala kehidupan yang ada di permukaan bumi, baik yang berupa binatang ataupun tumbuh-tumbuhan.

Bayangkanlah jika seseorang sedang memerlukan seteguk air untuk minum, tetapi tidak memperolehinya di saat itu. Apakah yang hendak dilakukannya ketika itu jika dia mempunyai harta yang banyak? Rasanya seluruh harta dan kekayaannya akan dibelanjakan hanya untuk memperoleh seteguk air itu. Alangkah menghairankan  sikap manusia ini yang begitu terpesona dengan emas perak , wang ringgit, intan permata, tetapi telah lalai dan lupa dengan kenikmatan Tuhan yang berupa seteguk air yang menjadi minumannya. Seharusnyalah kita mensyukuri nikmat Tuhan yang tidak terhingga nilainya ini. Demikian jugalah sepatutnya kita berasa malu untuk menderhaka dengan perintah Tuhan, kerana Tuhan telah menganugerahi kita begitu banyak nikmat. Sebagaimana Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al - Infithar: 6.

“Hai manusia! Apa yang memperdayakanmu sehingga kamu berbuat durhaka kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah?”