Monday 13 May 2013

SELAMAT HARI GURU

Selamat Hari Guru ..... cikgu!

Terima kasih ...... cikgu! Atas segala ilmu yang telah dicurahkan. Moga Allah swt menerima segala amalmu sebagai amal soleh.....

Ucapan keramat ini ku tujukan kepada semua guru-guruku. Tanpa mu siapalah aku..... Berkat kesabaranmu, keikhlasan dan pengorbanan mu.... telah dizinkan oleh Allah swt, akhirnya aku menjadi guru juga akhirnya. Sempena hari guru yang bakal menjelang, ku titipkan sekelumit pengalaman ini untuk tatapan bakal-bakal guru. Moga ianya dapat memberikan manfaat...



AKHIRNYA AKU MENJADI….. GURU

            “Belajarlah rajin-rajin…. nak, nanti besar boleh jadi cikgu”. Kata-kata keramat inilah yang dipesan oleh ibuku sewaktu aku kecil dan masih terus terngiang-ngiang ditelinga ini. Walaupun ibu yang sangat kukasihi telah hampir 13 tahun meninggalkan dunia ini, sebelum aku bergelar guru. Itulah ketentuan yang Maha Esa. Doa seorang ibu itu yang akhirnya dikabulkan Allah swt. Walaupun sebelum ini aku lebih berhajat untuk menjadi seorang saintis. Namun hajat itu dapat juga aku rasai dalam beberapa tahun sebelum bergelar …Guru.

            Sebelum bergelar guru atau panggilan yang paling dikenali oleh sesiapa pun iaitu “Cikgu”, aku telah melakukan bermacam-macam kerja. Aku pernah menjadi kerani Kesatuan Guru-guru Agama Negeri Johor selama 3 tahun, sebelum aku memasuki Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia). Semasa di UPM aku ditawarkan program Diploma Sains Pertanian. Selepas setahun, aku telah ditawarkan terus ke peringkat Sarjana Muda. Ketika inilah hajat hati untuk menjadi saintis semakin cerah, apabila aku telah memilih program Sarjana Muda Sains Bioteknologi. Selepas tamat pengajian, aku bekerja sebagai Pembantu Penyelidik di UPM selama 3 bulan. Kemudian aku diterima bekerja sebagai Pegawai Penyelidik kontrak selama 2 tahun di PORIM (yang kini dikenali sebagai MPOB).

Semasa bekerja sebagai saintis atau penyelidik inilah aku mula merasakan seperti ada kekurangan dalam diri ini. Seolah-olah bidang tugas ini macam tidak sesuai dengan aku. Di tambah lagi dengan komen daripada beberapa rakan di tempat kerja yang menyatakan bahawa aku lebih sesuai jika bekerja sebagai seorang guru. Mungkin mereka melihat cara aku memberi tunjuk ajar kepada rakan penyelidik yang lain berkenaan penggunaan alatan (HPLC), salah satu alatan makmal yang terkini ketika itu dan aku telah dilatih menggunakannya oleh pihak pembekal. Selain itu, aku juga telah diberi tanggungawab oleh Ketua Unit untuk membimbing seorang pelajar Sarjana daripada Universiti Malaya dalam menjalankan projek untuk tesisnya. Bermula dari sinilah, jiwa ini semacam terpanggil untuk meneruskan kerjaya sebagai pendidik. Tidak kiralah samaada sebagai guru atau sebagai pensyarah. Yang pentingnya dapat mencurahkan bakti dalam bidang pendidikan. Lebih-lebih lagi tugas sebagai pendidik ini merupakan waris para nabi dan tugas yang sangat mulia. Hati ini semakin berbunga  untuk memilih kerjaya sebagai pendidik. Akhirnya setelah tamat kontrak di PORIM, aku telah memohon Diploma Pendidikan di UKM, tetapi gagal.

Pada tahun berikutnya aku mengikuti program Diploma Bahasa Malaysia di Universiti Malaya selama setahun. Selepas tamat pengajian di UM, aku pernah bertugas sebagai guru ganti selama sebulan di SMK Munshi Abdullah di Melaka. Aku mengajar subjek Bahasa Melayu tingkatan 6 rendah. Seronoknya bukan kepalang. Dapatlah aku merasai keadaan sebenar sebagai guru. Di sinilah buat pertama kalinya aku dipanggil “cikgu”. Walaupun hanya sebulan, namun sambutan positif daripada pelajar-pelajar yang aku ajar dan guru-guru di sekolah tersebut menaikkan lagi semangat aku untuk menjadi guru. Malah guru yang aku ganti ketika itu juga telah merujuk kepadaku tentang bagaimana untuk mengajar Bahasa Melayu. Rupa-rupanya barulah aku tahu bahawa guru tersebut baru posting dan tidak pernah lagi mengajar subjek tersebut. Banyak hadiah ku terima pada hari terakhir di sekolah tersebut. Pengalaman pertamaku menjadi guru sekolah ini merupakan kenangan yang tak dapat dilupakan hingga ke hari ini. Terima kasih….. pelajar-pelajarku. Moga kalian hari ini telah menjadi seseorang yang berguna untuk agama, masyarakat dan negara.

Pada tahun 1994 (sesi 1994/95), barulah aku berjaya ditawarkan mengikuti program Diploma Pendidikan di UTM dalam opsyen Bahasa Melayu dan Sains.  Setelah berkursus selama lebih kurang setahun, tibalah masa untuk aku ditempatkan ke sekolah. Ketika itu aku telah sarat mengandung anak pertama (satu-satunya hartaku dunia dan akhirat). Aku memang berharap agar aku dapat ditempatkan di sekolah yang berdekatan dengan rumah sewaku. Alhamdulillah…. akhirnya aku ditempatkan di SMK Taman Tun Aminah, yang  mengambil masa 10 minit sahaja untuk ke sekolah.

Hari pertama ke SMKTTA, aku terus menuju ke pejabat untuk melaporkan diri sebagai Guru Sandaran Terlatih pada tanggal 4 September 1995. Aku disambut dengan senyuman mesra oleh seorang guru lelaki berbangsa Cina yang sedang berdiri sambil memerhatikan gelagat para pelajar beratur untuk masuk ke kelas. Beliau mempersilakan aku ke bilik Pengetua, setelah aku nyatakan tujuan kehadiranku. Barulah aku tahu bahawa beliau adalah Tuan Pengetua (En Tan Hock Chai). Aku seterusnya diberitahu akan ditempatkan ke sebelah petang dibawah pimpinan En Seow Yee Woo sebagai Penyelia Petang ketika itu. Aku telah diberikan jadual mengajar tingkatan 2 bagi subjek kemahiran hidup, kerana ketika itu subjek kemahiran hidup sangat kekurangan guru. Manakala subjek sains dan Bahasa Melayu (opsyen matapelajaranku) telah cukup gurunya. Aku akur dengan apa yang telah ditetapkan, walaupun rasa agak sukar kerana subjek yang agak asing juga bagiku. Namun ku yakinkan diri untuk menghadapi semua itu dengan tabah. Aku hanya sempat mengajar sebulan sahaja sebelum aku cuti bersalin dan cuti akhir tahun.

Di bawah pimpinan En Seow Yee Woo dan beberapa orang guru kemahiran hidup, aku menjadi semakin yakin meneruskan kerjayaku sebagai pendidik. En Seow Yee Woo, merupakan seorang guru yang lemah lembut dan tegas. Beliau sangat disukai oleh murid dan guru-guru di bawah pimpinannya. Walaupun aku tidak lama berada di bawah pimpinannya, tetapi beliau telah banyak memberikan semangat dan tunjuk ajar. Yang paling aku kagumi padanya ialah ketika beliau memberi ucapan semasa perhimpunan atau mesyuarat. Kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu penuh bermakna dan tersusun indah, jika tidak melihat orangnya pasti menyangka beliau orang Melayu. Beliaulah orang pertama yang banyak memberi tunjuk ajar dan semangat kepadaku dalam dunia pendidikan ini. Malah beliau juga yang memberiku semangat untuk aku meneruskan pengajianku di peringkat sarjana, ketika itu aku hanya sambut kata-katanya dengan senyuman sahaja. Aku tidak terfikir lagi. Apa yang ada di hati ini ialah perasaan untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman sebagai seorang guru.
Latihan perguruan selama setahun di UTM, tidak banyak memberikan aku pengalaman. Tetapi di sekolah pertama dan terakhir inilah yang banyak mengajar aku tentang kehidupan sebenar sebagai seorang guru. Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Aminah, begitulah namanya. Merupakan sebuah sekolah yang terletak di tengah-tengah taman perumahan. Pelajar-pelajarnya terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India. Malah pelajar Cina merupakan peratusan tertinggi iaitu hampir 80 peratus berbanding Melayu dan India. Inilah cabaran besar bagiku, untuk berhadapan dengan pelajar-pelajar yang banyak masalah disiplin terutamanya bagi kelas-kelas akhir. Rata-ratanya tidak tahu membaca, jika boleh membaca pun tidak faham apa yang dibacanya. Untuk menyahut cabaran ini, aku telah melibatkan diri dengan beberapa orang guru petang yang mengajar Bahasa Melayu untuk kelas peralihan. Aku telah menunjukkan cara mengajar membaca menggunakan buku ‘Bacalah anakku’ kepada guru-guru yang terlibat dalam kelas tersebut. Kaedah ini aku rasakan mungkin lebih berkesan dan cepat dalam mengajar membaca kepada kanak-kanak, kerana aku telah praktikkan kepada anakku sendiri. Ketika berumur empat tahun dia telah pandai membaca. Cadangan ini, sedikit sebanyak dapat juga mengurangkan bilangan pelajar-pelajar yang tidak tahu membaca di sekolah ini ketika itu.

Masalah disiplin, terutamanya masalah gangster yang terdiri daripada tiga bangsa (gangster Melayu, Cina dan India) merupakan cabaran yang besar juga di sekolah ini. Setiap guru yang bertugas sentiasa rasa kecut perut jika bertugas di kantin pada waktu rehat. Apa tidaknya…. Tiba-tiba sahaja tong sampah melayang-layang, piring cawan melayang merupakan perkara biasa. Hampir setiap hari ada sahaja pergaduhan. Tidak cukup di kawasan sekolah sehingga berlarutan di luar sekolah. Yang teruknya guru disiplin ketika itu, En Lim Siang Hwan dan En Zailan. Asyik keluar masuk balai polis untuk menyelesaikan pelbagai kes disiplin. Sehinggakan sekolah SMKKTA terkenal dengan jolokan nama ‘sekolah gangster’. Akhirnya apabila pihak polis memberi bantuan dengan membuka kaunter di sekolah, barulah masalah gangster ini berkurangan. Selain dari itu, semua guru telah diperingatkan lagi tentang tanggungjawab membentuk disiplin pelajar adalah tanggungjawab semua guru. Kerjasama daripada semua guru amat penting untuk menyelesaikan masalah disiplin ini. Terutamanya guru-guru matapelajaran, mereka juga bertanggungjawab mendidik sahsiah pelajar. Tugas itu bukan terpikul kepada guru-guru agama dan moral atau guru disiplin sahaja.

Begitulah hebatnya tugas seorang guru, mereka merupakan guru matapelajaran, guru kaunseling, guru disiplin, guru moral dan agama, malah mereka juga merupakan pengganti kepada ibu bapa sepanjang berada di sekolah. Tidak habis tugasnya di situ, malah dalam banyak tugas pengurusan sekolah juga mereka terlibat. Mereka terlibat dalam pendaftaran murid, pungutan yuran, mengambil kehadiran murid, mengenalpasti dan menangani masalah ponteng dan berbagai-bagai lagi. Kadangkala tugas tersebut tidak habis di sekolah, terpaksa di selesaikan di rumah. Itulah cikgu…

Inginku ceritakan juga di sini, pengalamanku sebagai guru kemahiran hidup. Sepanjang lebih 10 tahun aku berada di SMKTTA, aku hanya mengajar subjek ini. Kalau ada pun subjek lain, hanya sekejap. Malah aku lebih dikenali sebagai guru kemahiran hidup (elektif kemahiran teknikal). Pelajar-pelajarku pula terdiri daripada pelajar lelaki sahaja. Kalau dilihat dengan pakaianku, orang yang tidak mengenaliku pastinya menganggap aku seorang ustazah. Rupa-rupanya guru yang mengajar pertukangan kayu, kerja paip, elektrik, elektronik, lukisan teknik, enjin, pertanian, perakaunan dan sebagainya. Begitulah rojaknya matapelajaran yang aku ajar. Aku kena mahir dalam semua hal tersebut. Hari pertama aku ke sekolah ini, aku diberi tahu akan mengajar tajuk perakaunan (akaun tunai, akaun bank, akaun jualan, akaun belian). Aduh… bengang juga aku. Bagaimana aku nak mengajar matapelajaran yang tak pernah aku pelajari selama ini? Alhamdulillah…. Aku diberi tunjuk ajar oleh guru yang akan aku ambil alih tugasnya, kerana beliau akan melanjutkan pelajarannya (beliau guru GSTT). Beliau memang mahir dalam bab perakaunan kerana memang bidangnya di UITM. Sempatlah aku menimba ilmu daripadanya dan daripada beberapa guru lain yang lebih berpengalaman seperti Pn Adibah Akhyak (Ketua Panitia Kemahiran Hidup). Selain itu, aku juga banyak membaca buku-buku perakauanan untuk aku lebih memahaminya. Akhirnya aku menjadi semakin yakin mengajar bab perakaunan ini kepada murid-muridku.
Selesai bab perakaunan, aku kena mengajar tajuk kerja kayu pulak… Macamana ni? Nak pegang tukul pun tak tahu, ini nak guna gergaji lagi… Masalah besar bagiku. Mujurlah suamiku pandai menukang, beliaulah guru pertamaku dalam bab pertukangan kayu. Malah beliaulah yang membantuku menggunakan gergaji elektrik untuk memotong kayu untuk diagihkan kepada pelajar. Ketika itu…., aku berasa sangat takut untuk menggunakannya. Walaupun telah ditunjuk ajar oleh guru yang mahir. Namun aku masih tidak berani, rasa macam nak menangis. Suamikulah satu-satunya tempatku mengadu dan membantuku dalam hal ini. Beliau akan datang ke sekolah pada hari Sabtu dan Ahad untuk membantu memotong kayu-kayu tersebut. Begitulah pengalamanku dalam tahun pertama menjadi guru kemahiran hidup.
Lama-kelamaan aku telah boleh menggunakan pelbagai jenis gergaji. Aku sudah tidak takut lagi. Aku boleh mengajar pelajar dalam tajuk kerja kayu dengan lebih yakin. Aku menjadi lebih mudah untuk meyakinkan pelajar-pelajar yang baru belajar menggunakan gergaji. Pernah satu ketika aku berhadapan dengan pelajar perempuan yang sangat takut untuk menggunakan gergaji elektrik mudah alih, hingga menangis teresak-esak. Aku teringat dengan pengalaman pertamaku dengan gergaji elektrik. Begitulah agaknya perasaannya. Sebagai guru, kita perlu terlebih dahulu ada keyakinan dan kemahiran ini. Barulah mudah bagi kita mendapat kepercayaan pelajar.

Lukisan teknik, satu lagi tajuk yang sukar bagiku. Aku dulu pelajar aliran sains. Tidak pernah terlintas pun dibenakku untuk mengajar lukisan teknik. Satu bidang yang sangat asing bagiku. Macamana aku nak mengajar tajuk yang aku sendiri tidak faham dan tidak mahir. Namun guru-guru yang berpengalaman di sekolahku telah banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar. Antaranya Pn Maznah, En Hamsari dan En Ishak. Mereka inilah orang yang banyak mengajar aku tentang tajuk-tajuk dalam kemahiran teknikal terutamanya dalam bab lukisan teknik. Oleh kerana aku mengajar di sebelah petang, aku ada kesempatan untuk hadir ke kelas En Hamsari di sebelah pagi untuk melihat bagaimana beliau mengajar tajuk lukisan teknik kepada pelajar-pelajar tingkatan 3 (bab ulangkaji tingkatan 1 dan 2). Begitulah aku gigihkan usaha untuk belajar sehingga mahir dalam lukisan teknik ini. Akhirnya aku semakin mahir dan lebih berkeyakinan untuk mengajar terutama kelas-kelas pertama. Sehingga aku boleh mengajar mereka tentang bagaimana melukis elips (bentuk bulat pada kedudukan oblik atau isometrik). Cabaran bagiku ketika mengajar kelas-kelas pertama ini, pelajar-pelajar mengharapkan sesuatu yang lebih daripada guru. Oleh itu, selalunya aku akan menambahkan kemahiran (pengayaan) untuk kelas-kelas pertama sebagai asas sebelum mereka pergi ke perigkat lebih tinggi. Alhamdulillah … aku berasa satu kepuasan bila mana mendapat tahu, ada antara pelajarku yang telah berjaya menjadi arkitek, jurutera dan sebagainya.

Tajuk-tajuk yang lain dalam matapelajaran kemahiran hidup untuk tingkatan 1 dan 2 ini, tidak begitu sukar bagiku kerana kebanyakannya aku pernah belajar. Lebih-lebih lagi dalam tajuk pertanian, merupakan bidang yang sangat aku minati. Semasa aku mula mengajar di sekolah ini, rumah hijau (bengkel pertanian) yang ada seperti tidak pernah digunakan. Pokok-pokok yang ada hanyalah pokok lidah jin merupakan jenis pokok yang memang tahan lasak. Tidak perlu penjagaan. Aku telah diberi tugas oleh Ketua Panitia menjadi penyelaras rumah hijau. Ketika itu, aku mengajar tingkatan 2. Aku bertekad untuk menghidupkan kembali rumah hijau agar menghijau dengan kehijauan pokok-pokoknya. Pada peringkat awal, aku dengan dibantu oleh beberapa orang pelajarku telah mengemaskini dan menyenaraikan bahan-bahan dan alatan yang ada serta perlu dibeli. Kemudian aku minta pelajar-pelajar membawa anak pokok sendiri untuk di tanam ke dalam pasu, yang mana ini ada dalam silibus tingkatan 2. Aku ajar pelajar cara-cara membuat tanah campuran secara amali. Oleh kerana pelajar-pelajarku terdiri daripada pelajar lelaki, maka tidak menjadi masalah untuk melaksanakan aktiviti ini. Malah mereka rasa seronok. Lebih-lebih lagi bagi kelas-kelas akhir.

Selain itu, aku jadikan juga aktiviti di rumah hijau seperti penjagaan, penyiraman dan pembajaan sebagai aktiviti secara berterusan bagi pelajar-pelajar lelaki dalam Persatuan Kemahiran Hidup. Pengurusan ini aku lakukan dengan bantuan En Mohd Zain Kosnon (kini pensyarah di IPKTI) dengan beberapa orang pelajar yang berminat dengan kerja-kerja pertanian. Aku juga amat bersyukur, kerana mendapat sokongan padu daripada Ketua Panitia. Kami telah bersama-sama berusaha bertungkus lumus untuk menghijaukan dan menceriakan lagi rumah hijau. Akhirnya rumah hijau ini telah mendapat pujian daripada PPD Johor Bahru sebagai rumah hijau terbaik bagi sekolah yang bukan elektif pertanian.

Hasil tanaman dalam pasu ini juga pernah digunakan sebagai hiasan pentas semasa hari terbuka PIBG. Ini semua atas nasihat En Aminuddin Adam (ketika itu pernah menjadi Penolong Kanan HEM). Sehinggakan mendapat pujian daripada pengetua-pengetua sekolah lain yang hadir. Pokok-pokok hiasan itu, ada juga yang dijual semasa hari terbuka sekolah sebagai mengisi tabung persatuan. Aku ajar kepada pelajar-pelajarku bagaimana menjadikan hasil pertanian sebagai perniagaan. Tidak hanya menanam tanaman dalam pasu, aku juga bersama dengan Pn Ng Siam Noi telah bertemu dengan pegawai pertanian daerah Johor Bahru untuk mendapatkan nasihat tentang tanaman hidroponik. Sehingga akhirnya kami berjaya mengadakan kursus tanaman hidroponik kepada guru-guru dan pelajar-pelajar yang berminat. Kursus ini dikendalikan oleh pegawai pertanian. Kemudian pihak sekolah telah disumbangkan 20 buah takung hidroponik. Berbekalkan pengetahuan dan bahan yang ada, aku bersama pelajar-pelajar persatuan telah mengusahakan tanaman sayur hidroponik seperti kailan, bayam dan salad. Hasilnya sungguh menakjubkan. Saiznya dua kali lebih besar daripada saiz biasa. Mulanya sayur-sayuran tersebut hanya dijual kepada guru-guru dan staf sekolah sahaja. Kemudian kami jual semasa hari terbuka sekolah. Jualan ini telah mendapat sambutan hangat daripada ibu bapa. Malah ada yang kecewa kerana telah kehabisan. Aku sungguh terharu melihat keadaan ini, pelajar-pelajarku telah berjaya menjadi penjual sayur tanpa rasa kekok.

Satu hal yang amat aku senangi sepanjang berada di sekolah ini ialah mudahnya mendapat kerjasama daripada guru-guru yang rata-ratanya sangat komited terhadap kerja dan tanggungjawab masing-masing. Lebih-lebih lagi, guru-guru kemahiran hidup. Kami saling bekerjasama seperti satu keluarga. Di bawah pimpinan ketua Panitia Pn Adibah, kami sentiasa berbincang mengenai cara-cara untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran kami. Biasanya guru-guru yang mahir akan membimbing  guru-guru yang baru. Selain itu, kami juga sering mengadakan majlis atau aktiviti seperti jamuan, perkelahan dan lawatan bersama-sama dengan ahli keluarga masing-masing. Ini menyebabkan kami rasa begitu akrab. Sehingga kini, aku masih terasa kerinduan dengan suasana itu.

Begitulah sekelumit pengalaman yang dapat aku coretkan untuk tatapan pembaca yang budiman. Mudah-mudahan coretan ini jika ada yang baik bolehlah dikongsikan sebagai contoh dan tauladan. Yang kurang elok jadikanlah sempadan.  Aku berharap perjalananku sepanjang bergelar guru akan sentiasa diberkati dan dipimpin Ilahi, agar aku mampu meneruskan perjuangan demi melahirkan generasi yang cemerlang bukan sahaja akademiknya tetapi yang paling penting ialah cemerlang dari aspek sahsiah dan keperibadiannya. Semoga mereka yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung dalam menyumbangkan bimbingan dan tunjuk ajar kepadaku sehingga aku bergelar guru, akan diterima oleh Allah swt sebagai amalan soleh.

Akhir sekali inginku ungkapkan pantun yang dihasilkan oleh Profesor Hamka, iaitu seorang ulamak, pujangga dan pendidik ulung di nusantara:

Penakik pisau seraut,
Ambil galah batang lintabung,
Seludang jadikan nyiru;
                        Setitik jadikan laut,
                        Sekepal jadikan gunung,
                        Alam terbentang jadikan guru.


Friday 11 May 2012



SELAMAT HARI GURU

Marilah kita bersama-sama merenungi bagaimanakah tingkah kita terhadap guru-guru kita. Wajarkah tindakan kita kepada mereka selama ini? 
 
ADAB-ADAB PELAJAR TERHADAP GURU 
Sifat pertama yang perlu ada pada setiap pelajardi dalam menunaikan hak terhadap guru ialah menghormati guru. Guru wajib dihormati kerana kedudukannya yang menyampaikan ilmu kepada pelajar. Pelajar juga wajib menghormati guru kerana kedudukan pelajar yang menerima ilmu darinya. Daripada Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam pernah bersabda (yang bermafhum):

“Pelajarilah ilmu, pelajarilah ilmu ketenangan dan kesopanan dan rendahkanlah dirimu terhadap orang yang kamu ambil ilmunya “
(Riwayat Ath-Thabrani)

Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam juga mengingatkan akan hak pelajar terhadap guru dalam sabda baginda:

“Tidak termasuk umatku orang yang tidak mengagongkan orang besar dari kami, tidak mengasihi orang kecil dari kami, dan tidak mengetahui hak orang alim dari kami “
(Riwayat Ath-Thabrani)

Sayyidina Ali Radhiallahu ‘anh pernah memberi pesanan dalam soal menghormati guru dengan berkata:

“Hak seorang alim (guru) yang wajib atas dirimu ialah: memberi salam kepada semua orang yang berada dalam majlisnya, dan mengkhususkannya dengan berjabat tangan. Hendaklah duduk berhadapan dengannya, tidak boleh menunjuk jari di hadapannya, tidak boleh mengerling mata dengan orang lain di hadapannya
, tidak menyebut kata-kata orang lain di hadapannya, tidak boleh mencaci orang di hadapannya dan sekiranya dia melakukan kesilapan hendaklah maafkannya. Muliakanlah dirinya kerana Allah SWT, dan kiranya dia memerlukan sesuatu, hendaklah segera menghulurkan bantuan kepadanya, jangan memuji-muji orang lain di dalam majlisnya, jangan menarik bajunya, jangan memaksanya jika dia keberatan, jangan merasa jemu duduk bersamanya. Anggap dia laksana lebah dan dirimu menunggu sesuatu yang akan jatuh daripadanya pada bila-bila masa sahaja”.

Sehubungan dengan hadith di atas serta pesanan Sayyidina Ali Radhiallahu ‘anh, Dr.Abdullah Nasih Ulwan membuat
beberapa kesimpulan akan adab-adab pelajar terhadap gurunya :

1. Seorang pelajar hendaklah merendahkan dirinya di depan guru, jangan keluar daripada pendapat dan arahannya. Merendahkan diri terhadap guru adalah satu kemuliaan dan ketinggian. Imam Ghazali ada menyatakan :

“Ilmu itu hanya akan diperolehi dengan merendahkan diri dan memperhatikannya...”

Imam Ahmad berkata kepada Khalafu’l-Ahmar:

“Aku tidak pernah duduk kecuali di hadapanmu, kami telah diperintahkan untuk merendahkan diri terhadap orang yang kam
i ambil ilmunya “

2. Seorang pelajar hendaklah memandang gurunya dengan kemuliaan dan meyakini bahawa gurunya memiliki darjat yang tinggi. Imam Syafi’i ada menyatakan:

“Pernah aku menyimbak (membuka) lembaran kertas di depan Malik dengan lembut kerana kewibawaannya, agar dia tidak mendengar gemerisiknya “

Ar-Rabi’ berkata :

“Demi Allah, aku tidak berani meminum air sedangkan As-Syafi’i melihatku kerana rasa hormat kepadanya“


Pelajar-pelajar juga hendaklah dilatih supaya tidak memanggil gurunya dengan kata-kata “kamu”, tetapi dengan mengatakan “wahai guruku atau wahai ustazku”, kerana kata-kata panggilan yang baik merupakan pengikat rasa kasih sayang antara murid dan gurunya.

3. Hendaklah pelajar mengetahui hak-hak terhadap gurunya dan tidak melupakan jasa gurunya sehingga ke akhir hayat. Syu’bah berkata:

“Apabila aku mendengar hadis Rasulullah SAW daripada seseorang, selama itulah aku menghormatinya.”


Sebaiknya seorang pelajar mendoakan kesejahteraan gurunya sepanjang hayat. Jika guru itu sudah wafat hendaklah diambil berat hal ehwal keturunan dan orang-orang yang mencintainya.

4. Jika guru menegur atau marah, maka hendaklah murid bersikap sabar. Hendaklah pelajar menganggap bahawa kemarahan guru adalah sebagai tanda kasih sayang guru terhadap pelajarnya. Para guru sebenarnya ingin memperbaiki kelemahan pelajarnya. Dengan sikap sedemikian, akan lahirlah rasa sayang para pelajar terhadap guru dan bermanfaatlah segala ilmunya bagi pelajar dalam urusan din, dunia dan akhirat.

Sebahagian ahli salaf berkata:


“Barang siapa tidak sabar dalam belajar, maka dia akan buta huruf selama hidupnya. Dan barang siapa bersabar di dalamnya, dia akan mendapat kemuliaan dunia dan akhirat.”

5. Hendaklah pelajar duduk di hadapan gurunya dengan sopan, tenang, merendahkan diri dan hormat sambil mendengar dan memberi sepenuh perhatian kepada gurunya.Seorang pelajar juga haruslah menghindarkan segala perbuatan yang tidak sopan terhadap gurunya.

6. Janganlah pelajar berjumpa gurunya di kelas, rumah atau tempat khusus sebelum mendapat izin daripadanya. Sebaiknya seorang pelajar menghadap gurunya dalam keadaan sempu
rna, dengan badan dan pakaian yang bersih, terutama jika dia hendak ke majlis ilmu. Kerana majlis ilmu adalah majlis zikir, pertemuan dan ibadah.

7. Apabila seorang pelajar mendengar gurunya menyebut sesuatu dalil hukum, menceritakan sesuatu syair, membawa sesuatu berita atau mengemukakan sesuatu ilmu, hendaklah dia mendengar dengan penuh perhatian seakan-akan dia belum pernah mendengar sama sekali.

Dr. Abdullah Nasih Ulwan ada mengatakan bahawasanya memenuhi hak terhadap guru adalah wajib lebih-lebih lagi jika guru tersebut adalah dikalangan mereka yang bertaqwa dan beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Itulah adab-adab terpenting yang harus diamalkan oleh para pelajar dalam rangka untuk menjadi pelajar yang benar-benar berilmu, beradab dan bertaqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala.
Posted by Sabri @ Teh Bri at 6:36 PM

Friday 4 November 2011

Masa yang sangat berharga

Ahli dunia mengira bahawa syurganya terletak pada nilai material, wanita dan gedung-gedung mewah. Namun bagi seorang mukmin, syurganya terletak pada mihrabnya. Sekalipun Allah menganugerahkan kepadanya banyak hal yang diperbolehkannya untuk dimilikinya. Muknin sejati mempunyai kesenanganya yang tersendiri, iaitu dengan menghadapkan dirinya kepada Tuhannya dengan jiwa yang bersih. Sehinggakan segala kesenangan duniawi yang diperbolehkan untuknya memiliki itu akan lenyap dari jiwanya lantaran kelazatan menghadap Tuhannya mengatasi segala-galanya. Seringkali mukmin ini akan menjauhi banyak hal yang diperbolehkan itu agar kebersihan jiwanya terhindar daripada pencemaran yang akan mengeruhkan suasana kejernihan rohaninya.

Sikap tersebut telah pun di amalkan oleh orang-orang mukmin yang terdahulu, bahkan sehingga pada abad ini. Mereka lebih menyukai kehidupan yang sederhana sahaja, walaupun hakikatnya mereka berkemampuan untuk hidup mewah.

Sesungguhnya peranan solat merupakan faktor yang amat penting bagi mengubah segala kerumitan hidup manusia yang komplek dan berpanjangan. Sehingga membuatnya bosan dan sering mengeluh. Hal ini akan dapat diselesaikan hanya melalui solat yang memerlukan beberapa minit sahaja, tetapi mampu merubah kehidupannya menjadi penuh ketenangan.

Kehidupan orang yang jahil adalah kebekuan yang berterusan. Sedangkan kehidupan orang yang mengerjakan shalat dipenuhi dengan gerakan untuk menambah nilai kebenaran atau meluruskan penyimpangan. Sesungguhnya solat itu dimulai dengan Allahu Akbar (Allah Maha Besar) yang dapat mengakhirkan kebekuan ini dengan menggugah pelakunya untuk melakukan gerakan.

Gerakan paling menonjol sebagi hasil daripada takbir adalah gerakan pemisahan antara kekasih-kekasih Tuhan yang Maha Pemurah dengan kekasih-kekasih syaitan. Kerana apabila kita membaca:

             " Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau anugerahkan nikmat kepada    mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan pula (jalan) mereka yang sesat." (Al-Fatihah : 6-7)

Sepatutnyalah kita merasakan dalam setiap rakaat solat, keadaan tiga golongan manusia. Mengingati Nabi saw dan para sahabatnya radhiallahu'anhum, sebagai gambaran orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah swt. Manakala Abu Jahal dan Musailamah al-Kadzdzzab sebagai gambaran orang-orang yang dimurkai Allah swt dan orang-orang yang sesat. Demikianlah seterusnya pada rakaat yang lain dengan gambaran yang lain seperti contoh-contoh manusia yang ada dalam Al-Quran.

Oleh yang demikian barulah kita dapat menghayati solat dengan sebenar-benarnya. Dengan mengerjakan solat bererti kita telah bergabung dengan kaum mukminin dan memisahkan dengan kaum yang membuat kerosakan. Itulah gerakan iman, sesungguhnya iman yang benar adalah yang menggerakkanmu untuk memisahkan dari golongan yang lain (yang murkai Allah swt).

Rujukan: Buku Pelembut Hati (Muhammad Ahmad ar-Rasyid)



Thursday 3 November 2011

Lecture Notes

Career Path & Experience

Publications


Publications:

1. F. Suratman, F. Huyop and G.K.A. Parveez, 2009. In vitro Shoot Regeneration of Citrullus vulgaris Schrad (Watermelon). Biotechnology, 8: 393-404.http://scialert.net/fulltext/?doi=biotech.2009.393.404

2. Faridah Suratman, Alina Wagiran, Zaidah Rahmat , Hamidah Ghazali & Fahrul Zaman Huyop. (2007). Optimization of Biolistic Transformation of Yellow Watermelon Cotyledons Using Gene for β-Glucuronidase as a Visual Marker. Abstract of the Asia Pacific Conference on PLant Tissue Culture and Agribiotechnology (APaCPA) 2007, Kuala Lumpur, 17th-21st June 2007.

3. Faridah, S., Alina, W., Zaidah, R., Hamidah, G. & Fahrul, H. (2006). Shoot Regeneration System of Watermelon From Cotyledon. Abstract of the 10th Seminar on Medicinal and Aromatic Plants 2006, Forest Research Institute Malaysia, Malaysia, 12-13th September 2006..

Artikel:

1. Majalah Semaian Subur Tahun 2010. Hebatnya Ciptaan Tuhan: Kejadian Bintang.

HEBATNYA CIPTAAN TUHAN:
 Kejadian Bintang

Sesungguhnya Rabb kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia bersemayam di atas Arsy. Dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (masing-masing) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, menciptakan dan memerintahkan hanyalah hak Allah. Maha suci Allah, Rabb semesta alam. (QS. Al A’raaf, 7:54)

Marilah kita bersama-sama mendongakkan kepala dan melihat ke langit di malam yang gelap pekat ini. Betapa indahnya malam dengan bulan dan bintang yang menghiasi alam yang tiada akan bercahaya tanpa izinNya. Manakala siang dan malam yang silih berganti itu, tidak sekali-kali menyalahi aturanNya. Subhanallah!.. Maha berkuasanya Allah yang menciptakannya.

Andainya kita seorang penyair, penyajak, penggubah lagu, pastinya segala keindahan bulan dan bintang ini akan mencetuskan idea-idea yang cukup menarik untuk digambarkan dalam bait-bait puisi. Demikian juga bagi jiwa-jiwa yang sedang gundah gulana, pasti hatinya akan terubat dan merasai ketenangan yang tidak dapat diungkapkan dengan  kata-kata.

Pernahkah kita terfikir bagaimana cakerawala yang tiada penghujungnya ini terbentuk? Bagaimana bulan dan bintang yang hebat ini dapat muncul? Pada zaman dahulu, pengetahuan manusia tentang angkasa amat terbatas. Oleh itu, wujudnya berbagai-bagai andaian dan pendapat yang aneh tentang alam ini. Hari ini, manusia telah berupaya meneroka angkasa raya ini dengan pelbagai alat-alat yang canggih.

Pakar astronomi Edwin Hubble merupakan  ahli sains pertama yang membuktikan alam ini mempunyai permulaan. Beliau yang bekerja dengan sebuah teleskop gergasi, suatu hari pada tahun 1929, mendapati bintang-bintang ini bergerak yang bererti bahawa cakerawala tersebut sedang membesar. Semua ahli sains juga telah bersetuju bahawa bintang-bintang adalah bergerak antara satu sama lain. Pergerakan bintang-bintang ini adalah satu maklumat penting tentang penciptaan alam ini. Manakala fakta yang menunjukkan bahawa bintang-bintang ini bergerak menjauhi antara satu sama lain, telah membuktikan bahawa suatu masa dahulu bintang-bintang ini adalah bercantum. 

Cakerawala ini hanya wujud setelah berlakunya satu letupan, berjuta-juta tahun dahulu.  Serpihan-serpihan yang wujud hasil daripada letupan itu telah bergerak dan berselerak ke merata tempat dan mula membentuk cakerawala, planet-planet dan lain-lain. Letupan yang dinamakan Big bang merupakan permulaan kepada penciptaan cakerawala oleh Tuhan semesta alam. Ini adalah tanda betapa hebatnya kekuasaan Tuhan. Sekiranya seluruh manusia bergabung sekalipun, nescaya tidak akan dapat meniru letupan sebesar  Big bang  ini.

Sesungguhnya tidak ada suatu letupan pun di dunia ini yang akhirnya akan dapat membentuk satu struktur yang tersusun. Malah pastinya suatu kemusnahan dan kerosakan. Seperti mana yang berlaku di negara-negara yang sedang dilanda peperangan. Semuanya akan musnah, selepas berlakunya letupan demi letupan. Sangat berbeza dengan Big bang yang telah menghasilkan letupan berbilion kali ganda kekuatan bom atom ini. Hasil letupan tersebut telah membentuk sebuah dunia yang sempurna dan tersusun. Bagaimana ini terjadi? Allah SWT lah yang mencipta cakerawala ini melalui letupan Big bang dan Allah juga yang menyusun alam ini dengan begitu sempurna. Begitulah hebatnya kuasa Allah swt.

Allah Maha Berkuasa menciptakan bintang-bintang

Allah Maha berkuasa yang menciptakan cakerawala ini. Apabila kita mengundurkan masa, cakerawala ini juga akan menjadi lebih muda dan menjadi semakin kecil sehingga menjadi satu titik yang akhirnya hilang. Semua ini membuktikan cakerawala ini telah "dicipta". Hanya Allah yang dapat mewujudkan sesuatu daripada ketiadaan. Apatah lagi dengan cakerawala ini yang mengandungi  banyak bintang-bintang dengan sistemnya yang begitu rumit. Kerdipan bintang-bintang yang memancarkan keindahannya di malam yang gelap, begitu mengkagumkan. Tidak terasakah kita kehebatan dan kebesaran Allah yang Maha berkuasa? Apabila menatap lukisan alam ini yang begitu indah. Tidak terasakah kita betapa kerdilnya kita. Tidak terfikirkah kita bagimana bintang-bintang yang indah ini terbentuk?

Sebenarnya bintang-bintang dan planet-planet terbentuk adalah melalui pemampatan gas-gas dan debu-debu di angkasa yang dinamakan ‘nebula’.  Nebula tidak mempunyai cahaya sendiri. Tetapi bintang memberikan kepanasan, cahaya dan tenaga. Bintang-bintang ini merupakan objek-objek yang besar dan jumlahnya sangat banyak. Sekiranya dihitung pasir-pasir di semua pantai dan gurun di bumi ini, jumlah bintang di langit adalah 10 kali ganda daripada jumlah itu. Saiz bintang-bintang yang besar ini pula lebih besar daripada matahari. Tahukah anda, bahawa bintang juga mempunyai jangka hayat? Bintang  bukan benda hidup, tetapi bintang di lahirkan, kemudian hidup dan akhirnya akan mati.
Maksud Surah al-Fusillat ayat 11:
   “Kemudian Dia menuju ke langit dan (langit) itu masih berupa asap, lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi, ‘ Datanglah kamu berdua menurut perintahKu dengan patuh dan terpaksa.’ Keduanya menjawab, ‘Kami datang dengan patuh.’
Ayat tersebut membuktikan bahawa bintang tercipta daripada gumpalan asap tebal. Sains membuktikan bahawa asap yang dimaksudkan ini merupakan kandungan gas-gas hidrogen dan helium. Salah satu kajian dalam bidang astrofizik telah mengenalpasti keadaan alam selepas berlakunya peristiwa Big Bang iaitu pengembangan alam berlaku pada suhu yang tinggi, kemudian selepas tiga minit proses penyejukaan pula berlaku. Keadaan ini menyebabkan kelahiran proton dan neutron dan percantuman antara keduanya melahirkan nukleus. Akhirnya lahirlah atom hidrogen dan helium, apabila nukleus ini bercantum dengan elektron. Gas-gas hidrogen dan helium akan bercantum kesan daripada tarikan graviti dan menghasilkan gumpalan-gumpalan asap. Selepas jutaan tahun, gumpalan asap ini akan membentuk bintang-bintang, galaksi, planet dan bumi.

Kenyataan ayat Quran ini juga dikagumi oleh seorang saintis daripada Universiti Tokyo, Jepun, iaitu Profesor Yoshihide Kozai dengan katanya, “Saya kagum dengan fakta-fakta astronomi yang terdapat dalam Quran. Dengan membaca Quran, dapat menjawab persoalan-persoalan yang timbul, saya rasa akan menemui cara untuk mengkaji alam semesta pada masa akan datang.” (A Brief Understanding Islam, Darus Salam Publication, Mei 1990).

Saintis pada hari ini menyatakan black hole adalah satu objek yang menakjubkan, malahan ada yang menganggapnya sebagai objek raksaksa (monster) yang dahsyat. Beratnya menghampiri berat 10 bilion matahari dan merupakan objek yang paling jauh daripada bumi iaitu 12.5 bilion tahun cahaya. Black hole terhasil daripada bintang-bintang besar yang meletup di angkasa raya. Letupan yang dahsyat ini dikenali sebagai supernova. Ini berlaku kerana sesetengah bintang bersaiz 10 hingga 15 kali ganda lebih besar daripada matahari. Oleh itu, black hole diibaratkan sebagai tanah perkuburan bagi bintang-bintang.

Penemuan terkini mendapati, black hole juga menjadi tempat kelahiran bintang-bintang baru. Pakar-pakar mendapati kuasa magnet di sekeliling black hole mampu menggerakkan elektron kepada kelajuan menghampiri kelajuan cahaya. Elektron-elektron ini akan terpancar keluar lalu bertembung dengan gas hydrogen. Seterusnya akan berlaku proses-proses tertentu yang melahirkan bintang-bintang. Penemuan ini dilaporkan oleh Bjorn Carey di space.com di bawah tajuk Astronomers Surprised: Stars Born Near Black Hole pada 13 Oktober 2005 (Dr Danial Zainal Abidin, 2007).

Kejadian bintang-bintang di langit atau di angkasa raya ini sememangnya menakjubkan. Demikian juga dengan akhir hayatnya. Bintang yang beratnya berganda-ganda berbanding dengan matahari akan hancur  melalui satu ledakan  besar yang melahirkan black hole. Namun bagi kebanyakan bintang yang beratnya tidak melebihi dua kali ganda berat matahari, hayatnya akan berakhir dengan gumpalan gas berbentuk asap. Apabila gumpalan asap ini berinteraksi dengan foton ultra ungu (photons), maka asap ini akan mula bersinar dalam bentuk bunga ros. Inilah yang ditemui oleh pakar-pakar ilmu astronomi di alaf ketiga ini. Seperti yang dilaporkan dalam CNN.com bertarikh 12 September 2002 di bawah tajuk, “Hubble Spies Soft Rose In Tough Neighborhood.”

Bintang-bintang ini sangat berguna dan memberi faedah kepada manusia yang berfungsi sebagai penunjuk jalan bagi para pengembara. Syukur kepada Allah yang Maha Pencipta…… Sebagaimana Firman Allah dalam Surah an-Nahl ayat 16.
   “Dan Dia menciptakan tanda-tanda (penunjuk jalan). Dan dengan bintang-bintang mereka mendapat petunjuk.”
Di sepanjang perjalanan ini kita telah menyaksikan keindahan alam ciptaan Allah dan semuanya sangat seimbang. Malah berjuta keseimbangan halus wujud dalam cakerawala ini. Bintang-bintang yang wujud ini tidak pegun, malahan bergerak, berputar, berpusing dan mengalami kehancurannya Siapakah yang menentukan kesemua ini? Perancangan siapakah yang menyebabkan bintang-bintang ini tidak berlanggaran antara satu sama lain? Siapakah yang menentukan kestabilan angkasa raya ini selepas letupan yang dahsyat berlaku? Sudah pasti perancang dan pencipta ini Maha hebat yang menciptakan segalanya dengan penuh kehalusan dan kasih sayang. 

Rahsia-rahsia yang tersembunyi di alam ini seolah-olahnya merupakan tanda-tanda Allah sebagai penciptanya. Kesempurnaannya juga merujuk kepada tidak adanya sebarang kesilapan. Meskipun begitu, bintang-bintang yang sangat banyak ini tidak pernah berlaku sebarang perlanggaran antara satu sama lain. Seluruh alam ini pastinya berada dalam keadaan yang sangat seimbang. Sebagaimana firman Allah swt dalam Surah al-Mulk ayat 3-4 yang bermaksud:

 “(Allah) yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang kali, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang? Kemudian pandanglah sekali lagi nescaya penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan tidak menemukan sesuatu yang cacat dan penglihatanmu itu pun dalam keadaan payah.”

Marilah kita bersama-sama menghayati ciptaan Allah swt ini agar kita merasai betapa hebatnya kekuasaan Allah yang Maha berkuasa menciptakan dan  merasai kasih sayang Allah swt yang Maha pengasih. Apabila kita semakin merasai kebesaran dan kehebatan Allah ini, maka akan bertambahlah rasa keimanan. Mudah-mudahan hati kita semakin merasai lebih takut untuk melakukan kesalahan atau dosa dalam kehidupan ini.


2. Majalah Semaian Subur Tahun 2011. Air ...... Ohh .... Air.

                     AIR ….OH! AIR….

                                                                                  Flickr.com                                                                                
          zona-artis blogspot                                                                              

 
                              

                                                                                                                                                                                                                                   
          Air merupakan anugerah Tuhan yang paling penting kepada semua hidupan. Tidak kiralah samaada hidupan itu sekecil bakteria mahupun  sebesar-besar haiwan seperti ikan paus. Air telah membentuk 90% daripada berat sel yang merupakan unit asas kepada hidupan. Manakala kandungan air dalam seluruh tubuh manusia adalah sekitar 40 hingga 50 liter, iaitu anggaran 70%. Kehadiran air amat penting sebagai media bagi tindakbalas kimia, pengangkut pelbagai bahan pelarut dan juga sebagai pengangkut, menyimpan dan menyingkirkan bahan-bahan hasil sampingan yang tidak diperlukan oleh tubuh. Sesungguhnya air amat penting kerana tanpanya sudah pastilah proses hidupan tidak akan berlaku.

Lebih 70% permukaan bumi kita adalah dilitupi dengan air, dengan kira-kira 98% daripadanya adalah lautan. Manakala selebihnya adalah air di permukaan bumi yang terdiri daripada tasik-tasik dan sungai-sungai.  Memandangkan begitu banyaknya air dan sangat mudah pula diperolehi, menunjukkan kepada kita betapa hebatnya peranan air dalam kehidupan ini. Lebih-lebih lagi dengan sifat unggul air yang merupakan sebatian yang terdiri daripada hidrogen dan oksigen. Setiap satu molekul air terbentuk dengan dua atom hidrogen dan satu atom oksigen yang disusun pada sudut 104.5º. Kesan struktur molekul ini yang terdapat sedikit cas negatif di sekitar molekul oksigen dan sedikit cas positif di sekitar molekul hidrogen, telah menyebabkan molekul air adalah bercas (molekul berkutub). Apabila molekul-molekul air ini berdekatan antara satu sama lain, maka molekul-molekul ini akan menyusun dirinya dengan keadaan hidrogen yang bercas positif daripada satu molekul ditarik ke arah oksigen bercas negatif daripada molekul lain. Tarikan antara molekul jenis ini dikenali sebagai ikatan hidrogen (Rajah 1). Jika ikatan ini tidak berlaku, sudah pastilah air tidak akan wujud sebagai cecair seperti yang sedia adai. Malahan segala hidupan di dunia ini juga tidak akan wujud.
Rajah 1: Pembentukan ikatan hidrogen di antara dua molekul air.

            Sifat-sifat air secara fizikal dan kimianya sememangnya dicipta khusus oleh Tuhan sebagai bahan asas untuk hidupan. Apabila air menyejukbeku akan membentuk ais, yang mana molekul-molekul air ini akan menyusun dirinya membentuk susunan tetrahedron (molekul-molekul hidrogen yang berikatan). Bentuk ini merupakan struktur-struktur berhablur. Semasa ais melebur pula, ikatan-ikatan hidrogen akan terputus beransur-ansur. Ini memerlukan tenaga tambahan bagi menghasilkan pengewapan. Molekul-molekul air yang terbentuk daripada peleburan ais adalah tersusun dengan lebih padat. Oleh itu, air pada suhu 0ºC hingga 4ºC adalah lebih tumpat daripada ais pada suhu yang sama. Manakala pada suhu yang lebih tinggi daripada 4ºC, tenaga terma yang lebih besar akan menolak molekul-molekul air supaya berjauhan. Ini menyebabkan air akan mengembang dan akan menjadi kurang tumpat. Berbeza dengan kebanyakan hablur adalah lebih tumpat daripada cecairnya, tetapi ais adalah berkecuali. Inilah sifat istimewa air, menyebabkan ais boleh terapung di dalam air. Ciri-ciri  air yang istimewa ini sangat penting kepada haiwan-haiwan akuatik yang hidup di dalam kolam, sungai dan tasik.

            Bayangkanlah apakah yang akan berlaku jika ais lebih tumpat daripada air? Sudah pasti ais akan tenggelam dan memenuhi dasar tasik, laut atau sungai. Akibatnya bukan sahaja semua hidupan akuatik akan tertimbus dengan ais, malahan tasik atau laut akan menjadi sejuk dalam tempoh yang agak lama. Apabila lautan menjadi lebih sejuk, ini akan mempengaruhi iklim bumi. Begitulah hebatnya ciptaan Tuhan! Ais yang kurang tumpat daripada air ini memberikan banyak kebaikan kepada semua hidupan. Apabila air pada permukaan tasik atau laut yang kaya dengan oksigen itu lebih sejuk dan lebih tumpat pada musim luruh, air ini akan tenggelam ke dasar dan menggantikan air yang lebih panas di dasar tasik. Air yang panas ini pula kaya dengan garam-garam mineral kepada tumbuhan seperti fitoplankton yang hidup berhampiran dengan permukaan tasik atau laut. Lihatlah betapa pentingnya kitaran air ini kepada proses hidupan.

            Kitaran ai ini akan berterusan sehingga seluruh air tasik atau laut mencapai suhu 4ºC (merupakan suhu di mana air berada dalam keadaan paling tumpat). Oleh itu, penyejukkan seterusnya mengakibatkan pembentukan satu lapisan ais pada permukaan tasik atau laut. Satu kesan yang besar, hasil daripada pengembangan air semasa sejuk beku ialah membantu memecahkan batuan bagi pembentukan tanah. Tanpa tanah, sudah pasti daratan akan menjadi gondol. Bahkan suhu akan berubah kerana tanpa kehadiran tumbuhan. Akibatnya, tidak wujudlah sebarang kehidupan di dunia ini. Demikianlah hebatnya ciptaan Tuhan. Bermula daripada setitis air sahaja, tetapi memberi impak yang sangat besar kepada seluruh kehidupan ini.

            Perhatikanlah juga betapa ajaibnya ciptaan Tuhan yang berupa air ini. Lautan yang terbentang luas itu juga, hanya berasal daripada setitik air. Namun apabila telah berkumpul menjadi satu, berupa alunan ombak yang dahsyat dan gelombangnya  yang bagaikan gunung tingginya mampu menghasilkan kekuatan beribu kali ganda kuasa kuda. Sehingga mampu memusnahkan apa sahaja, samada bangunan pencakar langit atau besi-besi yang beratnya beribu tan yang ada di hadapannya. Tetapi dengan air itu jugalah bergantungnya segala kehidupan yang ada di permukaan bumi, baik yang berupa binatang ataupun tumbuh-tumbuhan.

Bayangkanlah jika seseorang sedang memerlukan seteguk air untuk minum, tetapi tidak memperolehinya di saat itu. Apakah yang hendak dilakukannya ketika itu jika dia mempunyai harta yang banyak? Rasanya seluruh harta dan kekayaannya akan dibelanjakan hanya untuk memperoleh seteguk air itu. Alangkah menghairankan  sikap manusia ini yang begitu terpesona dengan emas perak , wang ringgit, intan permata, tetapi telah lalai dan lupa dengan kenikmatan Tuhan yang berupa seteguk air yang menjadi minumannya. Seharusnyalah kita mensyukuri nikmat Tuhan yang tidak terhingga nilainya ini. Demikian jugalah sepatutnya kita berasa malu untuk menderhaka dengan perintah Tuhan, kerana Tuhan telah menganugerahi kita begitu banyak nikmat. Sebagaimana Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al - Infithar: 6.

“Hai manusia! Apa yang memperdayakanmu sehingga kamu berbuat durhaka kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah?”