Monday 13 May 2013

SELAMAT HARI GURU

Selamat Hari Guru ..... cikgu!

Terima kasih ...... cikgu! Atas segala ilmu yang telah dicurahkan. Moga Allah swt menerima segala amalmu sebagai amal soleh.....

Ucapan keramat ini ku tujukan kepada semua guru-guruku. Tanpa mu siapalah aku..... Berkat kesabaranmu, keikhlasan dan pengorbanan mu.... telah dizinkan oleh Allah swt, akhirnya aku menjadi guru juga akhirnya. Sempena hari guru yang bakal menjelang, ku titipkan sekelumit pengalaman ini untuk tatapan bakal-bakal guru. Moga ianya dapat memberikan manfaat...



AKHIRNYA AKU MENJADI….. GURU

            “Belajarlah rajin-rajin…. nak, nanti besar boleh jadi cikgu”. Kata-kata keramat inilah yang dipesan oleh ibuku sewaktu aku kecil dan masih terus terngiang-ngiang ditelinga ini. Walaupun ibu yang sangat kukasihi telah hampir 13 tahun meninggalkan dunia ini, sebelum aku bergelar guru. Itulah ketentuan yang Maha Esa. Doa seorang ibu itu yang akhirnya dikabulkan Allah swt. Walaupun sebelum ini aku lebih berhajat untuk menjadi seorang saintis. Namun hajat itu dapat juga aku rasai dalam beberapa tahun sebelum bergelar …Guru.

            Sebelum bergelar guru atau panggilan yang paling dikenali oleh sesiapa pun iaitu “Cikgu”, aku telah melakukan bermacam-macam kerja. Aku pernah menjadi kerani Kesatuan Guru-guru Agama Negeri Johor selama 3 tahun, sebelum aku memasuki Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia). Semasa di UPM aku ditawarkan program Diploma Sains Pertanian. Selepas setahun, aku telah ditawarkan terus ke peringkat Sarjana Muda. Ketika inilah hajat hati untuk menjadi saintis semakin cerah, apabila aku telah memilih program Sarjana Muda Sains Bioteknologi. Selepas tamat pengajian, aku bekerja sebagai Pembantu Penyelidik di UPM selama 3 bulan. Kemudian aku diterima bekerja sebagai Pegawai Penyelidik kontrak selama 2 tahun di PORIM (yang kini dikenali sebagai MPOB).

Semasa bekerja sebagai saintis atau penyelidik inilah aku mula merasakan seperti ada kekurangan dalam diri ini. Seolah-olah bidang tugas ini macam tidak sesuai dengan aku. Di tambah lagi dengan komen daripada beberapa rakan di tempat kerja yang menyatakan bahawa aku lebih sesuai jika bekerja sebagai seorang guru. Mungkin mereka melihat cara aku memberi tunjuk ajar kepada rakan penyelidik yang lain berkenaan penggunaan alatan (HPLC), salah satu alatan makmal yang terkini ketika itu dan aku telah dilatih menggunakannya oleh pihak pembekal. Selain itu, aku juga telah diberi tanggungawab oleh Ketua Unit untuk membimbing seorang pelajar Sarjana daripada Universiti Malaya dalam menjalankan projek untuk tesisnya. Bermula dari sinilah, jiwa ini semacam terpanggil untuk meneruskan kerjaya sebagai pendidik. Tidak kiralah samaada sebagai guru atau sebagai pensyarah. Yang pentingnya dapat mencurahkan bakti dalam bidang pendidikan. Lebih-lebih lagi tugas sebagai pendidik ini merupakan waris para nabi dan tugas yang sangat mulia. Hati ini semakin berbunga  untuk memilih kerjaya sebagai pendidik. Akhirnya setelah tamat kontrak di PORIM, aku telah memohon Diploma Pendidikan di UKM, tetapi gagal.

Pada tahun berikutnya aku mengikuti program Diploma Bahasa Malaysia di Universiti Malaya selama setahun. Selepas tamat pengajian di UM, aku pernah bertugas sebagai guru ganti selama sebulan di SMK Munshi Abdullah di Melaka. Aku mengajar subjek Bahasa Melayu tingkatan 6 rendah. Seronoknya bukan kepalang. Dapatlah aku merasai keadaan sebenar sebagai guru. Di sinilah buat pertama kalinya aku dipanggil “cikgu”. Walaupun hanya sebulan, namun sambutan positif daripada pelajar-pelajar yang aku ajar dan guru-guru di sekolah tersebut menaikkan lagi semangat aku untuk menjadi guru. Malah guru yang aku ganti ketika itu juga telah merujuk kepadaku tentang bagaimana untuk mengajar Bahasa Melayu. Rupa-rupanya barulah aku tahu bahawa guru tersebut baru posting dan tidak pernah lagi mengajar subjek tersebut. Banyak hadiah ku terima pada hari terakhir di sekolah tersebut. Pengalaman pertamaku menjadi guru sekolah ini merupakan kenangan yang tak dapat dilupakan hingga ke hari ini. Terima kasih….. pelajar-pelajarku. Moga kalian hari ini telah menjadi seseorang yang berguna untuk agama, masyarakat dan negara.

Pada tahun 1994 (sesi 1994/95), barulah aku berjaya ditawarkan mengikuti program Diploma Pendidikan di UTM dalam opsyen Bahasa Melayu dan Sains.  Setelah berkursus selama lebih kurang setahun, tibalah masa untuk aku ditempatkan ke sekolah. Ketika itu aku telah sarat mengandung anak pertama (satu-satunya hartaku dunia dan akhirat). Aku memang berharap agar aku dapat ditempatkan di sekolah yang berdekatan dengan rumah sewaku. Alhamdulillah…. akhirnya aku ditempatkan di SMK Taman Tun Aminah, yang  mengambil masa 10 minit sahaja untuk ke sekolah.

Hari pertama ke SMKTTA, aku terus menuju ke pejabat untuk melaporkan diri sebagai Guru Sandaran Terlatih pada tanggal 4 September 1995. Aku disambut dengan senyuman mesra oleh seorang guru lelaki berbangsa Cina yang sedang berdiri sambil memerhatikan gelagat para pelajar beratur untuk masuk ke kelas. Beliau mempersilakan aku ke bilik Pengetua, setelah aku nyatakan tujuan kehadiranku. Barulah aku tahu bahawa beliau adalah Tuan Pengetua (En Tan Hock Chai). Aku seterusnya diberitahu akan ditempatkan ke sebelah petang dibawah pimpinan En Seow Yee Woo sebagai Penyelia Petang ketika itu. Aku telah diberikan jadual mengajar tingkatan 2 bagi subjek kemahiran hidup, kerana ketika itu subjek kemahiran hidup sangat kekurangan guru. Manakala subjek sains dan Bahasa Melayu (opsyen matapelajaranku) telah cukup gurunya. Aku akur dengan apa yang telah ditetapkan, walaupun rasa agak sukar kerana subjek yang agak asing juga bagiku. Namun ku yakinkan diri untuk menghadapi semua itu dengan tabah. Aku hanya sempat mengajar sebulan sahaja sebelum aku cuti bersalin dan cuti akhir tahun.

Di bawah pimpinan En Seow Yee Woo dan beberapa orang guru kemahiran hidup, aku menjadi semakin yakin meneruskan kerjayaku sebagai pendidik. En Seow Yee Woo, merupakan seorang guru yang lemah lembut dan tegas. Beliau sangat disukai oleh murid dan guru-guru di bawah pimpinannya. Walaupun aku tidak lama berada di bawah pimpinannya, tetapi beliau telah banyak memberikan semangat dan tunjuk ajar. Yang paling aku kagumi padanya ialah ketika beliau memberi ucapan semasa perhimpunan atau mesyuarat. Kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu penuh bermakna dan tersusun indah, jika tidak melihat orangnya pasti menyangka beliau orang Melayu. Beliaulah orang pertama yang banyak memberi tunjuk ajar dan semangat kepadaku dalam dunia pendidikan ini. Malah beliau juga yang memberiku semangat untuk aku meneruskan pengajianku di peringkat sarjana, ketika itu aku hanya sambut kata-katanya dengan senyuman sahaja. Aku tidak terfikir lagi. Apa yang ada di hati ini ialah perasaan untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman sebagai seorang guru.
Latihan perguruan selama setahun di UTM, tidak banyak memberikan aku pengalaman. Tetapi di sekolah pertama dan terakhir inilah yang banyak mengajar aku tentang kehidupan sebenar sebagai seorang guru. Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Aminah, begitulah namanya. Merupakan sebuah sekolah yang terletak di tengah-tengah taman perumahan. Pelajar-pelajarnya terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India. Malah pelajar Cina merupakan peratusan tertinggi iaitu hampir 80 peratus berbanding Melayu dan India. Inilah cabaran besar bagiku, untuk berhadapan dengan pelajar-pelajar yang banyak masalah disiplin terutamanya bagi kelas-kelas akhir. Rata-ratanya tidak tahu membaca, jika boleh membaca pun tidak faham apa yang dibacanya. Untuk menyahut cabaran ini, aku telah melibatkan diri dengan beberapa orang guru petang yang mengajar Bahasa Melayu untuk kelas peralihan. Aku telah menunjukkan cara mengajar membaca menggunakan buku ‘Bacalah anakku’ kepada guru-guru yang terlibat dalam kelas tersebut. Kaedah ini aku rasakan mungkin lebih berkesan dan cepat dalam mengajar membaca kepada kanak-kanak, kerana aku telah praktikkan kepada anakku sendiri. Ketika berumur empat tahun dia telah pandai membaca. Cadangan ini, sedikit sebanyak dapat juga mengurangkan bilangan pelajar-pelajar yang tidak tahu membaca di sekolah ini ketika itu.

Masalah disiplin, terutamanya masalah gangster yang terdiri daripada tiga bangsa (gangster Melayu, Cina dan India) merupakan cabaran yang besar juga di sekolah ini. Setiap guru yang bertugas sentiasa rasa kecut perut jika bertugas di kantin pada waktu rehat. Apa tidaknya…. Tiba-tiba sahaja tong sampah melayang-layang, piring cawan melayang merupakan perkara biasa. Hampir setiap hari ada sahaja pergaduhan. Tidak cukup di kawasan sekolah sehingga berlarutan di luar sekolah. Yang teruknya guru disiplin ketika itu, En Lim Siang Hwan dan En Zailan. Asyik keluar masuk balai polis untuk menyelesaikan pelbagai kes disiplin. Sehinggakan sekolah SMKKTA terkenal dengan jolokan nama ‘sekolah gangster’. Akhirnya apabila pihak polis memberi bantuan dengan membuka kaunter di sekolah, barulah masalah gangster ini berkurangan. Selain dari itu, semua guru telah diperingatkan lagi tentang tanggungjawab membentuk disiplin pelajar adalah tanggungjawab semua guru. Kerjasama daripada semua guru amat penting untuk menyelesaikan masalah disiplin ini. Terutamanya guru-guru matapelajaran, mereka juga bertanggungjawab mendidik sahsiah pelajar. Tugas itu bukan terpikul kepada guru-guru agama dan moral atau guru disiplin sahaja.

Begitulah hebatnya tugas seorang guru, mereka merupakan guru matapelajaran, guru kaunseling, guru disiplin, guru moral dan agama, malah mereka juga merupakan pengganti kepada ibu bapa sepanjang berada di sekolah. Tidak habis tugasnya di situ, malah dalam banyak tugas pengurusan sekolah juga mereka terlibat. Mereka terlibat dalam pendaftaran murid, pungutan yuran, mengambil kehadiran murid, mengenalpasti dan menangani masalah ponteng dan berbagai-bagai lagi. Kadangkala tugas tersebut tidak habis di sekolah, terpaksa di selesaikan di rumah. Itulah cikgu…

Inginku ceritakan juga di sini, pengalamanku sebagai guru kemahiran hidup. Sepanjang lebih 10 tahun aku berada di SMKTTA, aku hanya mengajar subjek ini. Kalau ada pun subjek lain, hanya sekejap. Malah aku lebih dikenali sebagai guru kemahiran hidup (elektif kemahiran teknikal). Pelajar-pelajarku pula terdiri daripada pelajar lelaki sahaja. Kalau dilihat dengan pakaianku, orang yang tidak mengenaliku pastinya menganggap aku seorang ustazah. Rupa-rupanya guru yang mengajar pertukangan kayu, kerja paip, elektrik, elektronik, lukisan teknik, enjin, pertanian, perakaunan dan sebagainya. Begitulah rojaknya matapelajaran yang aku ajar. Aku kena mahir dalam semua hal tersebut. Hari pertama aku ke sekolah ini, aku diberi tahu akan mengajar tajuk perakaunan (akaun tunai, akaun bank, akaun jualan, akaun belian). Aduh… bengang juga aku. Bagaimana aku nak mengajar matapelajaran yang tak pernah aku pelajari selama ini? Alhamdulillah…. Aku diberi tunjuk ajar oleh guru yang akan aku ambil alih tugasnya, kerana beliau akan melanjutkan pelajarannya (beliau guru GSTT). Beliau memang mahir dalam bab perakaunan kerana memang bidangnya di UITM. Sempatlah aku menimba ilmu daripadanya dan daripada beberapa guru lain yang lebih berpengalaman seperti Pn Adibah Akhyak (Ketua Panitia Kemahiran Hidup). Selain itu, aku juga banyak membaca buku-buku perakauanan untuk aku lebih memahaminya. Akhirnya aku menjadi semakin yakin mengajar bab perakaunan ini kepada murid-muridku.
Selesai bab perakaunan, aku kena mengajar tajuk kerja kayu pulak… Macamana ni? Nak pegang tukul pun tak tahu, ini nak guna gergaji lagi… Masalah besar bagiku. Mujurlah suamiku pandai menukang, beliaulah guru pertamaku dalam bab pertukangan kayu. Malah beliaulah yang membantuku menggunakan gergaji elektrik untuk memotong kayu untuk diagihkan kepada pelajar. Ketika itu…., aku berasa sangat takut untuk menggunakannya. Walaupun telah ditunjuk ajar oleh guru yang mahir. Namun aku masih tidak berani, rasa macam nak menangis. Suamikulah satu-satunya tempatku mengadu dan membantuku dalam hal ini. Beliau akan datang ke sekolah pada hari Sabtu dan Ahad untuk membantu memotong kayu-kayu tersebut. Begitulah pengalamanku dalam tahun pertama menjadi guru kemahiran hidup.
Lama-kelamaan aku telah boleh menggunakan pelbagai jenis gergaji. Aku sudah tidak takut lagi. Aku boleh mengajar pelajar dalam tajuk kerja kayu dengan lebih yakin. Aku menjadi lebih mudah untuk meyakinkan pelajar-pelajar yang baru belajar menggunakan gergaji. Pernah satu ketika aku berhadapan dengan pelajar perempuan yang sangat takut untuk menggunakan gergaji elektrik mudah alih, hingga menangis teresak-esak. Aku teringat dengan pengalaman pertamaku dengan gergaji elektrik. Begitulah agaknya perasaannya. Sebagai guru, kita perlu terlebih dahulu ada keyakinan dan kemahiran ini. Barulah mudah bagi kita mendapat kepercayaan pelajar.

Lukisan teknik, satu lagi tajuk yang sukar bagiku. Aku dulu pelajar aliran sains. Tidak pernah terlintas pun dibenakku untuk mengajar lukisan teknik. Satu bidang yang sangat asing bagiku. Macamana aku nak mengajar tajuk yang aku sendiri tidak faham dan tidak mahir. Namun guru-guru yang berpengalaman di sekolahku telah banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar. Antaranya Pn Maznah, En Hamsari dan En Ishak. Mereka inilah orang yang banyak mengajar aku tentang tajuk-tajuk dalam kemahiran teknikal terutamanya dalam bab lukisan teknik. Oleh kerana aku mengajar di sebelah petang, aku ada kesempatan untuk hadir ke kelas En Hamsari di sebelah pagi untuk melihat bagaimana beliau mengajar tajuk lukisan teknik kepada pelajar-pelajar tingkatan 3 (bab ulangkaji tingkatan 1 dan 2). Begitulah aku gigihkan usaha untuk belajar sehingga mahir dalam lukisan teknik ini. Akhirnya aku semakin mahir dan lebih berkeyakinan untuk mengajar terutama kelas-kelas pertama. Sehingga aku boleh mengajar mereka tentang bagaimana melukis elips (bentuk bulat pada kedudukan oblik atau isometrik). Cabaran bagiku ketika mengajar kelas-kelas pertama ini, pelajar-pelajar mengharapkan sesuatu yang lebih daripada guru. Oleh itu, selalunya aku akan menambahkan kemahiran (pengayaan) untuk kelas-kelas pertama sebagai asas sebelum mereka pergi ke perigkat lebih tinggi. Alhamdulillah … aku berasa satu kepuasan bila mana mendapat tahu, ada antara pelajarku yang telah berjaya menjadi arkitek, jurutera dan sebagainya.

Tajuk-tajuk yang lain dalam matapelajaran kemahiran hidup untuk tingkatan 1 dan 2 ini, tidak begitu sukar bagiku kerana kebanyakannya aku pernah belajar. Lebih-lebih lagi dalam tajuk pertanian, merupakan bidang yang sangat aku minati. Semasa aku mula mengajar di sekolah ini, rumah hijau (bengkel pertanian) yang ada seperti tidak pernah digunakan. Pokok-pokok yang ada hanyalah pokok lidah jin merupakan jenis pokok yang memang tahan lasak. Tidak perlu penjagaan. Aku telah diberi tugas oleh Ketua Panitia menjadi penyelaras rumah hijau. Ketika itu, aku mengajar tingkatan 2. Aku bertekad untuk menghidupkan kembali rumah hijau agar menghijau dengan kehijauan pokok-pokoknya. Pada peringkat awal, aku dengan dibantu oleh beberapa orang pelajarku telah mengemaskini dan menyenaraikan bahan-bahan dan alatan yang ada serta perlu dibeli. Kemudian aku minta pelajar-pelajar membawa anak pokok sendiri untuk di tanam ke dalam pasu, yang mana ini ada dalam silibus tingkatan 2. Aku ajar pelajar cara-cara membuat tanah campuran secara amali. Oleh kerana pelajar-pelajarku terdiri daripada pelajar lelaki, maka tidak menjadi masalah untuk melaksanakan aktiviti ini. Malah mereka rasa seronok. Lebih-lebih lagi bagi kelas-kelas akhir.

Selain itu, aku jadikan juga aktiviti di rumah hijau seperti penjagaan, penyiraman dan pembajaan sebagai aktiviti secara berterusan bagi pelajar-pelajar lelaki dalam Persatuan Kemahiran Hidup. Pengurusan ini aku lakukan dengan bantuan En Mohd Zain Kosnon (kini pensyarah di IPKTI) dengan beberapa orang pelajar yang berminat dengan kerja-kerja pertanian. Aku juga amat bersyukur, kerana mendapat sokongan padu daripada Ketua Panitia. Kami telah bersama-sama berusaha bertungkus lumus untuk menghijaukan dan menceriakan lagi rumah hijau. Akhirnya rumah hijau ini telah mendapat pujian daripada PPD Johor Bahru sebagai rumah hijau terbaik bagi sekolah yang bukan elektif pertanian.

Hasil tanaman dalam pasu ini juga pernah digunakan sebagai hiasan pentas semasa hari terbuka PIBG. Ini semua atas nasihat En Aminuddin Adam (ketika itu pernah menjadi Penolong Kanan HEM). Sehinggakan mendapat pujian daripada pengetua-pengetua sekolah lain yang hadir. Pokok-pokok hiasan itu, ada juga yang dijual semasa hari terbuka sekolah sebagai mengisi tabung persatuan. Aku ajar kepada pelajar-pelajarku bagaimana menjadikan hasil pertanian sebagai perniagaan. Tidak hanya menanam tanaman dalam pasu, aku juga bersama dengan Pn Ng Siam Noi telah bertemu dengan pegawai pertanian daerah Johor Bahru untuk mendapatkan nasihat tentang tanaman hidroponik. Sehingga akhirnya kami berjaya mengadakan kursus tanaman hidroponik kepada guru-guru dan pelajar-pelajar yang berminat. Kursus ini dikendalikan oleh pegawai pertanian. Kemudian pihak sekolah telah disumbangkan 20 buah takung hidroponik. Berbekalkan pengetahuan dan bahan yang ada, aku bersama pelajar-pelajar persatuan telah mengusahakan tanaman sayur hidroponik seperti kailan, bayam dan salad. Hasilnya sungguh menakjubkan. Saiznya dua kali lebih besar daripada saiz biasa. Mulanya sayur-sayuran tersebut hanya dijual kepada guru-guru dan staf sekolah sahaja. Kemudian kami jual semasa hari terbuka sekolah. Jualan ini telah mendapat sambutan hangat daripada ibu bapa. Malah ada yang kecewa kerana telah kehabisan. Aku sungguh terharu melihat keadaan ini, pelajar-pelajarku telah berjaya menjadi penjual sayur tanpa rasa kekok.

Satu hal yang amat aku senangi sepanjang berada di sekolah ini ialah mudahnya mendapat kerjasama daripada guru-guru yang rata-ratanya sangat komited terhadap kerja dan tanggungjawab masing-masing. Lebih-lebih lagi, guru-guru kemahiran hidup. Kami saling bekerjasama seperti satu keluarga. Di bawah pimpinan ketua Panitia Pn Adibah, kami sentiasa berbincang mengenai cara-cara untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran kami. Biasanya guru-guru yang mahir akan membimbing  guru-guru yang baru. Selain itu, kami juga sering mengadakan majlis atau aktiviti seperti jamuan, perkelahan dan lawatan bersama-sama dengan ahli keluarga masing-masing. Ini menyebabkan kami rasa begitu akrab. Sehingga kini, aku masih terasa kerinduan dengan suasana itu.

Begitulah sekelumit pengalaman yang dapat aku coretkan untuk tatapan pembaca yang budiman. Mudah-mudahan coretan ini jika ada yang baik bolehlah dikongsikan sebagai contoh dan tauladan. Yang kurang elok jadikanlah sempadan.  Aku berharap perjalananku sepanjang bergelar guru akan sentiasa diberkati dan dipimpin Ilahi, agar aku mampu meneruskan perjuangan demi melahirkan generasi yang cemerlang bukan sahaja akademiknya tetapi yang paling penting ialah cemerlang dari aspek sahsiah dan keperibadiannya. Semoga mereka yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung dalam menyumbangkan bimbingan dan tunjuk ajar kepadaku sehingga aku bergelar guru, akan diterima oleh Allah swt sebagai amalan soleh.

Akhir sekali inginku ungkapkan pantun yang dihasilkan oleh Profesor Hamka, iaitu seorang ulamak, pujangga dan pendidik ulung di nusantara:

Penakik pisau seraut,
Ambil galah batang lintabung,
Seludang jadikan nyiru;
                        Setitik jadikan laut,
                        Sekepal jadikan gunung,
                        Alam terbentang jadikan guru.